SEJAK di bangku sekolah rendah, Mai Mohamad mengakui sangat gemar dengan irama tradisional, dan dia sering menonton persembahan gamelan.
Disebabkan itu, ketika berusia tujuh tahun, ibu bapanya telah menghantar Mai ke sekolah seni untuk mempelajari cara bermain gamelan sehingga tamat sekolah rendah.
Kemudian, dia berjaya melanjutkan pengajian di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Selatan tanah air.
Sehingga kini, biarpun Mai telah berusia 29 tahun, namun dia masih tidak dapat melupakan kejadian seram yang berlaku ketika belajar di sekolah asrama penuh itu.
Ketika awal-awal memasuki sekolah asrama, semuanya berjalan dengan baik, sebelum Mai berubah menjadi seorang yang mudah gelisah dan ketakutan.
Hal ini kerana dia berasakan dirinya seperti diperhatikan dan sering mengalami mimpi aneh.
Mai juga kerap mengalami mimpi pelik seperti dikejar lembaga hitam, nenek tua dan diekori anjing hitam.
“Awalnya, saya tidak peduli dan anggap mimpi itu disebabkan perasaan takut kerana pertama kali memasuki sekolah asrama.
“Namun semuanya berubah ketika saya di tingkatan dua apabila berlaku kejadian misteri yang sukar diterima oleh akal normal,” ujarnya.
Hal tidak diduga berlaku di dewan sekolah ketika Mai berjalan seorang diri untuk ke asrama selepas mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
“Waktu itu, saya terdengar alunan muzik gamelan dari dalam dewan. Namun apabila diperiksa, pintu dewan berkunci dan mustahil ada orang di dalam.
“Lagi pula, ketika itu sudah pukul 5 petang, jadi kebanyakan pelajar sudah pulang ke asrama untuk makan malam.
“Bila tengok pintu berkunci saya biarkan saja, tetapi tiba-tiba pintu dewan terbuka. Saya cuba melihat ke dalam dewan untuk tahu siapa yang bermain muzik gamelan.
“Kemudian, saya nampak ada seorang wanita mengenakan kebaya kuning dan rambut bersanggul sedang asyik menari di depan sekumpulan pemuzik,” katanya.
Alunan muzik dan gerakan tarian itu membuatkan Mai terpukau dan terikut-ikut tarian lembut itu.
Malah tanpa sedar, Mai perlahan-lahan mendekati wanita itu dan turut menari bersama.
Bagaimanapun, Mai terkejut apabila melihat wajah hodoh wanita itu, matanya berwarna hitam pekat, mulut tersenyum lebar dengan lidah sedikit terkeluar dan kulit berkedut.
Mai rasa ingin menjerit apabila wanita itu semakin menghampirinya. Namun mulutnya seperti terkunci dan tidak dapat berbuat apa-apa, selain memejamkan mata.
Tidak lama kemudian, Mai terdengar ada suara yang memanggil namanya, sebelum dia membuka mata.
Kemudian, dia melihat kedua-dua orang tua bersama beberapa rakan dan guru mengelilinginya di tepi katil asrama.
“Kata mereka, ada pelajar yang jumpa saya pengsan di depan pintu dewan, sebelum guru membawa saya ke klinik.
“Selepas kejadian itu, ibu bapa saya membawa saya mendapatkan rawatan perubatan Islam. Ini setelah doktor memberitahu, saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan,” katanya.
Insiden tersebut bukan sahaja meninggalkan memori seram, malah menyebabkan Mai berpindah sekolah dan tidak lagi aktif dengan aktiviti gamelan.















