fbpx

Bina dewan PPS kekal di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Kerajaan akan membina sekurang-kurangnya 1,000 dewan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di sekolah melibatkan kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak lapan PPS kekal itu kini dibina bagi kemudahan mangsa banjir yang perlu berpindah.

“Dewan ini dibina di sekolah yang dijadikan PPS kerana ketika ini di sekolah yang dijadikan PPS tidak mempunyai kemudahan seperti tempat mandi dan sebagainya. Tetapi di luar musim banjir, dewan PPS itu boleh digunakan oleh murid atau pelajar sekolah itu.

“Ini pendekatan baharu kerajaan tanpa melibatkan Kementerian Pendidikan itu sendiri yang perlu memohon peruntukan tambahan kerana kita guna peruntukan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) untuk bantu.

“Dewan ini akan dibina di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang sering dilanda banjir ketika musim Timur Laut. Sebanyak 1,000 dewan, kita bina ikut senarai,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kompleks Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di sini hari ini.

Kata beliau, pengurusan banjir oleh kementerian dan agensi terlibat dilaksanakan secara bersama untuk melancarkan bukan sahaja urusan agihan bantuan kepada mangsa, tetapi juga baik pulih infrastruktur terjejas.

“Ini bukan berkaitan pampasan sahaja, hal ini kerajaan membantu mangsa banjir dengan koordinasi semua agensi berkaitan. Apabila saya di Rompin, Pahang jalan terputus, itu dapat diselesaikan kurang 72 jam dengan kerjasama peruntukan Nadma dan pembinaan oleh rejimen tentera ATM.

“Berbanding dahulu, kalau satu jabatan bertanggungjawab, dia saja yang akan buat dan ambil jangka masa panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI