fbpx

Sengkek tapi sinergi Yonnyboii, ALYPH ‘kaya’ makna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII dan ALYPH membikin sebuah karya yang sangat dekat dengan masalah semua orang menerusi Sengkek.

DUA penyanyi hip-hop berbeza warganegara, Yonnyboii dari Malaysia, manakala ALYPH (Singapura) bersanding dalam single baharu berjudul Sengkek.

Sebagai penggemar genre muzik hip-hop, lagu ciptaan dua pelaku seni muzik itu mudah menjadi antara antem yang sering bermain dan terngiang-ngiang dalam fikiran penulis.

Dari segi nukilan lirik, apa yang dipaparkan daripada minda Yonny dan ALYPH mereka sangat ringkas, namun terkandung kejujuran yang tidak berbelah-bahagi.

Jujur di sini bermaksud karya berkenaan berbicara tentang kehidupan yang bermula dari bawah atau seperti judul lagu Sengkek menjadi ‘seseorang’ yang menyumbang bukan hanya kepada diri sendiri bahkan orang atau persekitaran terdekat.

‘Verse’ yang dizahirkan baik oleh Yonny dan ALYPH membentuk sinergi yang jarang-jarang dicetuskan mana-mana penyanyi Nusantara masa kini.

KERJA seni ALYPH menggunakan imej mata wang untuk single Sengkek disifatkan sangat genius dan tepat.

Rima genius

‘Dahulu masa aku sengkek, kunyah roti dan kerepek’. Demikian intro yang dinyatakan dalam lagu berjudul Sengkek. ‘Verse’ tersebut mudah berhubung dengan orang kebanyakan.

Jika kalian golongan B40 atau bahkan M40 yang dalam kesempitan, Sengkek adalah lagu bertepatan dengan keadaan semasa sekarang.

Dari segi komposisi atau gubahan muzik, penulis berani menyifatkan lagu terbabit mempunyai kualiti tersendiri yang layak meraih perhatian para pendengar.

Dengar intro sahaja terus melekat di halwa telinga dan itu adalah satu kualiti lagu yang bagus. Lagu hip-hop yang bagus adalah flow atau rima yang mengena tepat pada sasaran.

‘Dahulu terpaksa berjengket, rasa rendah juga pendek’. Itu antara flow genius yang teradun dalam Sengkek.

Kalaulah ALYPH bukan orang Singapura, penulis akan melobi untuk lagu Sengkek berjalan ‘masuk’ ke Muzik-Muzik dan seterusnya mara ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).

Kalaulah ALYPH ‘orang Malaysia’

Sejujurnya, kalaulah ALYPH orang Malaysia, memang sudah berderet-deret lagu nyanyian atau ciptaannya ‘berbaris’ di pentas AJL.

Hal ini kerana, dia punya banyak antem hit yang bukan hanya popular tetapi berkualiti.

Bercakap tentang mesej atau nilai yang disampaikan menerusi lagu, Sengkek terkandung ‘sesuatu’ yang susah untuk didapati daripada karya-karya Nusantara zaman sekarang. Senang cerita, walaupun lirik barangkali kedengaran remeh, lagu mempunyai bunyi kelas antarabangsa.

Ada ‘vibe’ lagu-lagu yang pernah dilahirkan bintang hip-hop lain seperti Drake dan Post Malone yang banyak berkisar tentang ‘hustle’ dalam kehidupan sebelum kini berganjak sebagai orang memiliki posisi tersendiri dalam bidang atau profesion yang dikerjakan.

Satu lagi yang ingin lambung atau canangkan pujian adalah ‘artwork’ single yang sangat kreatif.

Gambar atau foto mata wang yang digunakan adalah sesuatu bersifat genius. Yonnyboii dan ALYPH, syabas dan terima kasih untuk Sengkek.

Sengkek sebuah lagu yang lirik sifatnya sederhana, namun punya mesej yang dekat di hati khalayak pada masa orang sekarang sedang teruji dengan rencam kesusahan.

Kita semua bermula dari bawah dan bulatan itu sentiasa berputar. Esok atau lusa kita semua tidak akan berdepan kesusahan atau kesenangan sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI