fbpx

Ramai cedera di lokasi penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA SANDHA, Hairul Azreen, Noorkhiriah dan Wafariena menjadi pelakon terkini yang ditimpa kemalangan sewaktu beraksi di lokasi penggambaraan.

SEJAK lama dahulu, isu kecederaan ketika menjalani penggambaran antara perkara yang menjadi ‘momokan’ kepada penggiat seni apabila ada dalam kalangan pelakon dan kru tidak mempunyai insurans sendiri.

Barangkali sehingga kini, masih ada yang mengharapkan insurans berkelompok yang sepatutnya diambil syarikat produksi bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga andai berlaku kejadian tidak diingini.

Insiden terbaharu membabitkan pelakon, Fasha Sandha yang mengalami kecederaan pada mata kirinya akibat terhentak bucu katil ketika penggambaran sebuah drama di Johor Bahru, Johor, beberapa hari lalu seakan-akan ‘wake-up’ kepada pemain industri.

Malang memang tidak berbau dan Gala minggu ini membawakan antara kejadian kemalangan terkini membabitkan pelakon dan kru di lokasi penggambaran drama atau filem.

Fasha Sandha

Akibat silap percaturan, tulang mata sebelah kiri aktres berusia 39 tahun itu patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan sebuah babak kekerasan bersama pelakon Azhan Rani.

Dalam video dikongsi, aktor berpengalaman itu kelihatan melakukan babak menarik rambut Fasha dari tangga sebuah rumah sebelum menolak aktres itu secara tidak sengaja terkena bucu katil.

Insiden yang berlaku di set Anak Tuan pada awal pagi Khamis lalu itu mengakibatkan Fasha dikejarkan ke hospital bagi menjalani rawatan segera.
Difahamkan, ibu kepada tiga cahaya mata itu juga sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur berhampiran kediamannya.

Noorkhiriah

PADA Januari lalu pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, mengalami kecederaan ringan pada tangan kanannya akibat kemalangan motosikal di set penggambaran drama berjudul Bosskid.

Video dia terbabas ketika babak menunggang motosikal sehingga melanggar sebuah kereta di parkir sebuah rumah berdepan lokasi penggambaran menjadi tular.

Khiriah kembali bekerja selepas beberapa hari berehat berikutan kecederaan yang tidak serius.

Menurut wakil produksi, Noorkhiriah sepatutnya memandu kereta, bukannya motosikal, namun dia yang menawarkan diri menunggang motosikal untuk watak lakonannya.

Hairul Azreen

GARA-GARA babak lasak, aktor Paskal, Hairul Azreen terpaksa direhatkan daripada meneruskan penggambaran filem The Original Gangster arahan Syamsul Yusof berikutan kecederaan serius pada bahagian lutut, Februari lalu.

Aktor berusia 35 tahun itu mendedahkan ligamen lutut kirinya terputus sehingga terpaksa menjalani pembedahan segera serta menjalani latihan fisioterapi.

Genap seminggu kemalangan, Hairul yang sememangnya sinonim dengan filem lasak sudah mampu berjalan semula.

Sekitar 2019, suami kepada pelakon Hanis Zalikha itu Hairul juga pernah mengalami ligamen kaki terkoyak akibat salah ‘mendarat’ ketika adegan terjun dari tingkat dua sebuah bangunan.

Wafariena

BIARPUN sudah lebih lima bulan berdepan insiden yang nyaris meragut nyawa, pelakon Wafariena Roslan mengakui masih berdepan kesakitan impak daripada babak jatuh berulang kali dalam sebuah drama.

Wafariena mengalami kecederaam dalaman iaitu koyak tisu punggung cedera, perut koyak dan berlaku pendarahan selepas melakukan aksi lagak ngeri dalam penggambaran di Lenggong, Perak pada 8 Oktober lalu.

Akibat kejadian itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaimu itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selama lima hari sebelum dibenarkan pulang.

Ibu aktres berusia 27 tahun itu mendedahkan anaknya belum boleh melakukan aksi lasak lagi disebabkan kecederaan bahagian perut yang memerlukan masa lama untuk pulih.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI