fbpx

[VIDEO] Tiga beranak di Klang ‘dikurung’, disamun RM25,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian samun tersebut.

KLANG – Tiga beranak berdepan detik cemas termasuk ‘dikurung’ selepas rumah banglo mereka dipecah masuk empat penjenayah bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Andalas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi, sejumlah barangan kemas, wang tunai dan telefon bimbit jenis iPhone dengan nilai keseluruhan RM25,000 dilarikan kumpulan penyamun tersebut.

Sepanjang insiden itu, seorang mangsa cedera di jari kelingking kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba memecah masuk rumah itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati empat suspek menaiki kereta jenis Proton Perdana dengan nombor pendaftaran palsu telah berhenti hadapan rumah tersebut.

Katanya, kesemua suspek bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan parang kemudiannya telah memasuki rumah mangsa melalui pintu hadapan.

“Semasa kejadian, terdapat tiga ahli keluarga termasuk dua wanita berusia 46 hingga 88 tahun berada di kediaman tersebut.

“Suspek telah mengarahkan semua mangsa duduk di dalam bilik utama sambil diawasi dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, salah seorang suspek telah bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua orang mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan beg tangan mangsa.

Tambahnya, para penjenayah telah mengambil beberapa jenis barangan kemas dianggarkan bernilai RM24,000, wang tunai RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis Iphone sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

“Siasatan lanjut termasuk usaha mengesan suspek terlibat masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, tular dua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang masing-masing berdurasi 30 dan 47 saat memaparkan aksi jenayah sekumpulan suspek tersebut. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI