fbpx

Tak perlu lagi nangis-nangis – Mira Filzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIRA FILZAH

PETALING JAYA – Setelah bergelar ibu dan lama berehat daripada lakonan, pelakon popular Mira Filzah kini kembali menghiasi televisyen dengan sebuah naskhah baharu.

Lebih melegakan, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, tidak perlu melakonkan watak berat sebaliknya karakter santai dan dalam drama genre komedi berjudul, Imam Instant Ustazah Scammer.

“Saya bimbang juga untuk buat kemunculan semula tetapi alhamdulillah dapat beraksi dalam sebuah cerita yang ringan, relaks dan komedi.

“Lebih penting, saya tidak perlu buat kemunculan semula dengan drama berat yang memerlukan saya nangis-nangis.

“Watak kelakar yang saya pegang ini ‘menjadi’ dengan bantuan semua orang di sekeliling serta tidak perlu berlebihan-lebihan,” katanya.

Dalam drama tersebut, Mira digandingkan dengan Hun Haqeem iaitu imam segera yang tular dalam media sosial kerana mempunyai kelunakan suara ketika membaca al-Quran.

Akui Hun pula, pengalaman bergaul dengan orang surau ketika zaman remaja memudahkannya menghayati karakter imam muda.

“Rujukan saya ada pelbagai termasuk karakter yang saya temui sebelum ini yang kemudian disatukan untuk jadi Imam Asyraf.

“Saya juga ada merujuk geng surau sebab dulu saya pernah jadi budak teh O di surau kerana sepanjang Ramadan, tugas saya buatkan minuman untuk jemaah tarawih,” ujar aktor berwajah oppa itu.

Sementara itu, selaku pengarah Hadith Omar akui berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan penggambaran bermula ketika skrip belum siap sepenuhnya.

“Cabaran paling besar adalah sewaktu penggambaran bermula memandangkan skrip ketika itu masih dalam proses pembikinan.

“Jadi, kami tidak tahu apa yang boleh dijangkakan selain perlu beri fokus kepada jalan cerita serta mengagak apa yang terjadi.

“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik apabila setiap episod mengikut mod dan emosi serta karakter selain cabaran lokasi kerana cuaca yang panas,” ujarnya.

Bersempena kedatangan Ramadan, Hadith berharap mesej dalam drama berkenaan dapat disampaikan dan difahami penonton terutama dalam menerapkan semangat bulan mulia.

“Drama ini berbentuk ringan tetapi terdapat isu serta banyak pengajaran kerana kami cuba memberikan didikan kepada peminat tentang pelajaran agama melalui komedi.

“Kami selitkan banyak pengajaran terutama mengenai ramadan untuk menyuntik kembali semangat sambutan bulan mulia dan hari raya yang kian pudar dalam masyarakat,” tutur pengarah Nusyuz Berkiblat Cinta itu.

Naskhah berkenaan menceritakan tentang seorang wanita bernama Effa lakonan Mira Filzah yang menyamar menjadi ustazah melarikan diri dari ahlong ke Kampung Ramadan.

Secara tidak sengaja, Effa berjumpa dengan Asyraf watak Hun Haqeem yang merupakan imam dilantik segera kerana suka mengaji dan videonya menjadi perhatian ramai.

Namun, gelaran imam yang diberi membuatkan Asyraf kurang selesa dan meminta orang ramai berhenti memanggilnya sebegitu kerana dia hanya cintakan al-Quran.

Imam Instant Ustazah Scammer sebanyak sembilan episod akan ditayangkan bermula 5 Mac setiap Ahad jam 9 malam menerusi Astro Ria atau strim dalam Astro Go. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI