NOSTALGIK! Itu gambaran suasana saat kumpulan seberang Kerispatih hadir menzahirkan persembahan menggigit memori pada konsert Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir baru-baru ini.
Konsert dengan tiket licin terjual dihadiri lebih 2,000 audiens tersebut juga menggambungkan bekas vokalis, Sammy dengan band yang kini dianggotai empat lelaki, Badai, Anton, Fandy, Arief dan Andika.
Bukan pilih kasih tetapi konsert yang dibawa ke Kuala Lumpur oleh penganjur 4ward, Tiger Wong Entertainment, MHT Live tersebut lebih berimpak apabila Sammy berdiri di pentas melaungkan listrik vokalnya.
Fandy juga vokalis yang bagus, namun jika berkira soal nilai nostalgia awal tahun 2000, Kerispatih sangat diingati teman-teman di negara ini dengan satu fakta bahawa Sammylah vokalisnya.
Tiada banyak rungutan tentang persembahan, dari segi bunyi, permainan muzik, interaksi antara Sammy dan Fandy bersama peminat dan energi dicernakan audiens, semuanya berjalan cemerlang.

‘Reunion’, rasa muda macam dahulu
Selepas introduksi oleh Fandy yang menyampaikan untaian lagu dengan sempurna seperti Akhir Penantian, Kejujuran Hati dan Tetap Mengerti, tiba giliran Sammy menghipnosis audiens.
Sammy memulakan persembahan dengan Mengenangmu dan membuatkan semua yang hadir terjerit-jerit.
Mengenangmu yang dilancarkan pada era 2000-an menjadi antara antem popular Kerispatih dan Sammy langsung tidak mengecewakan penonton dengan lontaran vokal yang masih terpelihara merdunya.
Untuk rekod, kali terakhir Kerispatih mengadakan persembahan di negara ini adalah sekitar 18 tahun lalu. Sungguh lama!
Sebelum konsert berlangsung, Sammy memaklumkan, Malaysia memiliki tempat yang sangat istimewa dalam hatinya.
“Saya sangat senang berada di negara ini. Pendengar-pendengar di Malaysia masih sampai sekarang ingat dan menyanyikan lagu Kerispatih.
“Orang Malaysia boleh dengar satu lagu bertahun-tahun. Masih tetap ingat. Saya bangga sekali dengan peminat di negara ini,” kata Sammy.

Survival band Indonesia
Diajak berbicara tentang lambakan band Indonesia yang tidak lagi ‘sederas’ belasan tahun dahulu, Sammy mengakui perkara tersebut.
Katanya, ramai artis baharu yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Barangkali, itulah sebabnya mengapa band Indonesia kurang mendapat perhatian seperti dahulu.
“Untuk Kerispatih, lagu-lagu kami masih menjadi permintaan. Sudah 15 tahun berlalu tapi masih tetap orang nak kami menyanyi lagu sama.
“Kalau orang masih ingat lagu kami, maknanya mereka mungkin lahir tahun 80-an (ketawa). Apa pun, kami bersyukur dan sangat terharu masih dirindui peminat terutama di Malaysia,” kata Sammy.
Penyatuan Sammy dan Kerispatih di atas pentas sama menjadi saksi bahawa muzik band kelahiran seberang yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu masih ditagih peminat tanah air.
Siapa mampu menidakkan galau rasa ditinggalkan antem seperti Mengenangmu, Tapi Bukan Aku dan Bila Rasaku Ini Rasamu.
Meskipun vokalis asal, Sammy dan Kerispatih tidak lagi bersama sebagai sebuah kumpulan, namun itu bukan penghalang mereka menzahirkan sebuah persembahan menggamit memori khalayak yang membesar sekitar awal tahun 2000-an.
“Bagi saya sendiri, persembahan ini adalah momen yang sangat bernostalgia.
“Dahulu kami semua belum bernikah dan belum punya anak. Sekarang sudah lain.
“Konsert bersama Kerispatih memang memori yang indah. Saya sangat bahagia berada di Malaysia. Sudah bertahun-tahun lamanya, orang Malaysia masih ingat kami,” katanya.
Di atas pentas, Sammy dan Fandy bertukar baton menghibur audiens dan ada ketikanya, mereka berpadu vokal memberi simbolik bahawa muzik itu sifatnya menyatukan bukan memisahkan.
Listrik vokal Sammy masih luar biasa. Begitu juga energi yang dicernakan vokalis baharu Kerispatih, Fandy.
Sebagai sebuah kumpulan mereka bermuafakat memberi yang terbaik buat tatapan audiens di Malaysia.
Selain menghibur dan menyelak kembali nostalgia lama, satu perihal yang menjadi percakapan pada malam persembahan adalah apresiasi Sammy kepada vokalis unggul Malaysia, Anuar Zain.

Standing ovation Anuar Zain
Sempat mendendangkan lagu dipopularkan Anuar bersama Kerispatih berjudul Lelaki Ini, Sammy ternyata sangat terhutang budi dengan figura hebat itu.
“Masa datang ke Malaysia belasan tahun lalu, kami (Kerispatih) hanyalah band baharu yang tak ‘ngerti’ apa itu Kuala Lumpur dan kami harus terbang ke bandar tersebut.
“Waktu itu, kami terima penghargaan Anugerah Era. Ada karpet merah di mana-mana. Semua orang pakai tuxedo dan busana cantik-cantik, saya pakai seluar jeans koyak.
“Datang seorang lelaki gagah memperkenalkan diri kepada saya di belakang pentas acara berlangsung dan orang itu adalah Anuar Zain.
“Seorang artis Malaysia yang sangat luar biasa memberikan albumnya kepada kami ketika itu, buat kami tersentak.
“Kami bukan siapa-siapa waktu itu,” cerita Sammy.
Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 54, turut hadir menyaksikan konsert dan memberikan tepukan sambil berdiri (standing ovation) terutama ketika Kerispatih dan Sammy memberi hormat menyanyikan lagu Lelaki Ini dengan rendisi tersendiri.
Kerispatih dan Sammy turut mendendangkan lagu deepcut (kurang lazim di telinga peminat) seperti Akhir Penantian, Kejujuran Hati dan Tertatih.















