Perhimpunan disertai oleh pemilik Ducati Panigale dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Himpunan Ducati Panigale terbesar dunia di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKSI, bergaya dan berprestij. Itulah ungkapan tepat bagi menggambarkan deretan 280 buah superbike Ducati Panigale yang disusun di hadapan Madani Bikes, Kuala Lumpur.

Deretan motosikal berkuasa tinggi keluaran Itali itu merupakan milik penunggang dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Mereka sedang menunggu masa untuk memacu ‘mesin’ kesayangan menuju ke perhimpunan terbesar di dunia bagi kategori pemilik Panigale di Hotel Zenith Kuantan, Pahang.

Dicipta dengan kelajuan sesuai untuk perlumbaan litar, motosikal berharga lebih RM100,000 itu ternyata bukanlah kenderaan yang biasa dilihat di atas jalan raya.

Bagi menghangatkan suasana seperti di litar, konvoi tersebut turut diiringi penunggang ujian MotoGP Ducati, Michele Pirro yang memakai suit lengkap perlumbaan, sekali gus memberikan kesan cherry on the top.

Deruman bak di Litar Antarabangsa Sepang itu memecah keheningan pagi saat bendera pelepasan dikibarkan bagi menanda bermulanya ekspedisi tersebut.

KONVOI dilepaskan di Madani Bikes, Kuala Lumpur sebelum menuju ke perhimpunan Panigale di Hotel Zenith Kuantan, Pahang. – SHIDDIEQIIN ZON

Ratusan motosikal Ducati Panigale yang kebanyakannya berwarna merah, putih dan hitam mula membanjiri jalan di ibu kota menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Presiden Panigale Kingdom, Hairi Jasadi, 45, berkata, pelumba antarabangsa kelahiran Itali itu hanya mengiringi mereka hingga ke Petronas Bentong, Pahang sebelum berpisah dengan kumpulan tersebut.

Katanya, peserta konvoi lain akan meneruskan perjalanan ke Kuantan dengan satu persinggahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Temerloh.

Menariknya, semasa di R&R, peserta bukan saja dapat mengisi minyak, malah mereka berkumpul dengan pemilik-pemilik Ducati Panigale di Pantai Timur.

“Sejak penganjuran pada 2016, ini kali pertama konvoi kami disertai oleh bintang perlumbaan MotoGP.

“Saya tak pasti sama ada situasi seperti ini akan berulang atau tidak pada penganjuran akan datang.

“Pada tahun ini, kami bernasib baik kerana hari pelepasan konvoi berada dalam tempoh ujian rasmi musim sejuk MotoGP 2023 di Litar Antarabangsa Sepang.

“Jumlah penyertaan juga didapati meningkat berbanding tahun-tahun lalu.

“Kami satu-satunya kelab Ducati Panigale yang berjaya melakukan perkara itu,” katanya kepada K2.

PARA peserta merakam gambar kenangan sebelum menuju ke Kuantan, Pahang.

Tambahnya, konvoi tahunan yang sering kali mengumpul ratusan pemilik Ducati Panigale di rantau Asia Tenggara itu sudah mula mendapat perhatian pihak Ducati Itali.

Kini, pihaknya berada dalam proses untuk mendaftar kelab Panigale Kingdom sebagai kelab rasmi di bawah Ducati Itali.

Ini secara tidak langsung akan memberi lebih banyak manfaat kepada ahli kelab berkenaan.

“Kami bukan kelab rasmi di Malaysia kerana aktiviti ini sekadar hobi.

“Bagaimanapun, disebabkan sambutan memberangsangkan pada setiap tahun, kelab ini mula dikenali dan pihak Ducati Itali menyarankan kami supaya mendaftar secara rasmi.

“Salah satu kelebihan apabila kelab ini diiktirafkan secara rasmi adalah peluang menyertai World Ducati Week yang dianjurkan dua tahun sekali.

“Ia merupakan acara yang menghimpunkan peminat digelar Ducatisti, pelumba serta legenda Ducati,” katanya yang juga merupakan Pengarah Urusan Madani Greatlink Sdn. Bhd.

Para peserta mengambil peluang beramah mesra bersama Pirro (dua dari kanan)

Menurut Setiausaha Panigale Kingdom, Nor Shazni Farhana Mohd. Kamari, 39, perancangan konvoi melibatkan empat negara itu memakan masa lebih kurang empat bulan.

Tambah Nor Shazni Farhana, terdapat peningkatan penyertaan saban tahun yang menyebabkan kelab tersebut semakin berkembang termasuk penyertaan para penunggang wanita.

“Pada penganjuran kali ini, kami menerima lebih kurang lima atau enam peserta wanita.

“Ada juga yang membonceng, tetapi model Panigale sebenarnya bukan motosikal sesuai untuk membawa pembonceng.

“Ini kerana, Panigale menyediakan konfigurasi tempat duduk tunggal. Bagaimanapun, pemilik boleh menambah tempat duduk dan perehat kaki pembonceng yang disertakan secara berasingan,” jelasnya.

Salah seorang peserta dari utara tanah air, Tan Wei Kee, 37, berkata, dia pertama kali menyertai konvoi dan perhimpunan anjuran Panigale Kingdom pada edisi tahun lalu.

Katanya, dia memulakan perjalanan dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada petang sehari sebelum konvoi itu bersama 10 rakan penunggang lain.

Wei Kee berkata, mereka tiba sehari awal di Kuala Lumpur bagi memastikan masing-masing cukup bertenaga meneruskan perjalanan ke Pantai Timur.

“Saya diperkenalkan oleh kawan-kawan mengenai acara ini. Setelah sertainya buat pertama kali, saya rasa seronok dapat bersama-sama peserta dari pelbagai negara.

Sementara itu, seorang peserta dari Singapura, Mohd. Haziq Fikri Mohd. Farid, 24, berkata, dia baru saja bergelar pemilik Ducati Panigale setelah membelinya pada tahun lalu.

“Di Singapura, kami ada kelab Ducati Motor Club Singapore. Menerusi kelab itu, saya dapat tahu tentang kemeriahan acara perhimpunan ini.

“Saya masih lagi baru dengan motosikal ini. Sebenarnya, tidak mudah untuk menyelenggaranya.

“Dengan adanya perhimpunan sebegini, saya dapat bertanya dan menimba ilmu daripada ‘otai-otai’ yang ditemui di sini,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN