fbpx

Mahkamah: Sogokan RM150, pengundi mohon batal kemenangan Radzi Jidin 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Radzi.

KUALA LUMPUR – Seorang pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang memenangi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Pengundi itu Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, memfailkan petisyen tersebut kerana mendakwa Mohd. Radzi memberi rasuah RM150 sebagai balasan kepada pengundi berdaftar yang mengundi bekas Menteri Pendidikan itu sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.

Menerusi petisyen pilihan raya yang difailkan pada 26 Januari lalu dengan menamakan Mohd. Radzi, 46, selaku responden, Ahmad Faisal, 50, turut mendakwa sogokan itu diserahkan kepada seorang lelaki yang juga pengundi di Parlimen sama.

Dalam prosiding hari ini peguam Ahmad Faisal, Datuk Mohd. Hafarizam Harun ketika berhujah berkata lelaki itu menerima wang sogokan tersebut daripada seorang pekerja Perikatan Nasional (PN).

“Terdapat juga beberapa pengundi lain yang disogok dengan wang demi mendapatkan undi untuk responden.
Pempetisyen (Ahmad Faisal) menyatakan bahawa segala keterangan lanjut berkenaan dakwaan perbuatan rasuah akan dikemukakan semasa perbicaraan kelak.

“Perbuatan sogokan yang dilakukan oleh ejen responden mendorong pengundi memilih responden semasa PRU-15 dan bukan mengundi calon lain,” kata peguam itu.

Menurut peguam itu lagi, perbuatan rasuah dilakukan responden menyebabkan kemenangan kepada responden yang mengalahkan calon, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan (daripada Barisan Nasional) yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan sejak 2004.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Mohd. Radzi, pula berkata pempetisyen gagal sama sekali membuktikan butiran fakta berkaitan isu sogokan RM150 itu.

“Tiada diplidkan dari siapa wang diterima, tempat wang diterima dan alamat di mana diterima. Tidak diplidkan nama dan butiran pemberi yang didakwa sebagai pekerja PN,” katanya.

Tambahnya lagi pempatisyen juga gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh wakil ejen dibuat atas arahan atau dalam pengetahuan responden.

Hari ini adalah pendengaran bantahan awal oleh Mohd. Radzi berhubung petisyen pilihan raya itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Mac ini bagi keputusan bantahan awal berhubung petisyen itu.

Untuk rekod dalam PRU-15 tahun lalu Mohd. Radzi dari PN berjaya memperoleh 16,002 undi sekali gus memperolehi majoriti 2,310 undi mengalahkan Ku Nan yang mendapat 13,692 undi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI