fbpx

Kawal perbelanjaan, jangan sampai stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOOR HASLIZA NUSI,
WAKIL KOSMO! PULAU PINANG

DALAM kehangatan rakyat membicarakan tentang intipati Belanjawan 2023, soal menguruskan kewangan serentak bagi persiapan persekolahan anak dan Hari Raya Aidilfitri kekal menjadi topik utama golongan isi rumah.

Memikirkan soal sumber kewangan sedia ada nyata menimbulkan kebimbangan buat pasangan suami isteri terutama yang mempunyai anak ramai.

Ini kerana, pendapatan bulanan yang diperoleh pada hujung Februari ini dikatakan hanya cukup untuk membiayai hal perbelanjaan persekolahan anak-anak, sehingga terpaksa menangguhkan percutian.

Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, individu yang memikirkan ba­nyak perkara yang tertumpu pada satu masa mampu mengundang stres dan rasa gelisah.

Menurutnya, stres berpunca apabila seseorang itu gagal me­nemui jalan penyelesaian atau solusi yang sedang difikirkannya terutama melibatkan kewangan.

“Maka, ini akan memberi lebih banyak tekanan kepada individu terbabit sehingga menjadi semakin serabut.

“Oleh itu, jika kita sebut tentang perbelanjaan dan keperluan harian, kita perlu lihat hirarki keperluan asas yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Sekiranya keperluan sekolah berada dalam senarai perkara asas, ia mesti didahulukan,” katanya.

Menurut Syed Mohamad lagi, stres berkaitan kewangan juga berlaku apabila permintaan atau keinginan melebihi sumber kewangan yang diperoleh.

“Individu perlu merancang perbelanjaan. Ini bermaksud, jangan berbelanja sekali gus dan tidak berlebihan.

“Dalam hal ini, sewajarnya pengguna boleh membezakan keperluan dan kehendak atau keinginan yang merupakan dua perkara yang berbeza. Amalkan sikap berhemah,” ujarnya.

Beliau memberitahu, desakan anak-anak untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan juga menjadi penyebab masalah stres berlaku dalam kalangan ibu bapa hari ini.

“Sebenarnya, dalam hal ini, kita dapati bahawa anak-anak sukar memahami situasi yang dialami ibu bapa kerana mereka mempunyai kehendak masing-masing.

“Mereka (anak-anak) sukar memahami kekangan yang dialami ibu bapa. Namun, ada juga yang memahami dengan baik masalah yang dihadapi. Kaedah terbaik, ibu bapa seharusnya memberi penjelasan tentang perbelanjaan mereka kepada anak-anak dengan tenang dan rasional.

“Kewajaran ibu bapa perlu mengehadkan perbelanjaan. Utamakan keperluan utama yang perlu dibelanjakan dan pada masa sama, ibu bapa perlu melakukan perancangan per­belanjaan kepada anak-anak serta bagaimana menguruskannya mengikut kesesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Moha­mad berkata, khidmat kaunseling adalah pilihan tepat untuk pasangan mendapatkan titik penyelesaian.

“Kaunseling sebenarnya untuk semua termasuk tentang peri­hal kewangan dan perbelanjaan. Apabila ibu bapa terbeban dengan stres dan serabut jika memikirkan tentang kewangan, sebaiknya luah perkara tersebut supaya tidak memberi satu impak tekanan dalam bentuk pendaman yang negatif,” tambahnya.

Kesimpulan, pasangan suami atau isteri yang berdepan masalah stres atau murung berkaitan kewangan dinasihatkan agar bertenang, berhemah dan selesaikan dengan baik tanpa mengambil sebarang keputusan di luar jangkaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI