fbpx

Rider tendang perut pengawal keselamatan diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video tular penghantar makanan menendang perut pengawal keselamatan di Taman Bukit Meringin, Sg. Ramal Luar, Kajang, kelmarin.

KAJANG – Polis memburu penghantar makanan yang menendang perut pengawal keselamatan selepas tidak dibenarkan masuk ke kawasan kediaman di Taman Bukit Meringin, Sg. Ramal Luar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, aduan insiden yang berlaku pada pukul 6.30 petang itu diterimanya daripada majikan pengawal keselamatan tersebut.

Katanya, pekerjanya yang juga lelaki warga Nepal itu telah ditendang seorang lelaki tempatan yang juga bekerja sebagai penghantar makanan di pos pengawal kediaman itu.

“Kejadian berlaku disebabkan sikap tidak puas hati suspek terhadap pengawal keselamatan kerana apabila suspek mohon masuk ke rumah nombor 3 di Taman Bukit Meringin dihalang mangsa yang memaklumkan rumah tersebut kosong dan tidak berpenghuni.

“Disebabkan mangsa tidak membenarkan suspek masuk, suspek yang berang telah turun daripada motosikalnya dan melepaskan satu tendangan di perut mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, seorang saksi di situ yang kebetulan mahu masuk ke kawasan perumahan berjaya merakamkan kejadian dengan menggunakan rakaman papan pemuka (dashcam) miliknya.

Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kajang sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad A’fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang pengawal keselamatan ditendang pada perut oleh seorang penghantar makanan.

Video yang tular itu menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai pada penghantar makanan yang menendang pengawal keselamantan tersebut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI