fbpx
JINGGO diganggu makhluk misteri kerana sikapnya yang takbur. – Ilustrasi Shah Hasan

Misteri dipeluk erat makhluk hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ILMU persilatan Melayu mendidik seseorang itu untuk mempertahankan diri daripada ancaman musuh yang cuba membuat honar.

Seseorang yang menyertai silat diingatkan supaya menjaga akhlak daripada terlibat dengan elemen-elemen negatif.

Misalnya, tidak menghormati ibu bapa dan orang tua, bongkak serta takbur dengan kehebatan diri.

Kisah mitos yang ingin diceritakan ini melibatkan seorang pemuda yang bersikap takbur semasa mengikuti sesi mempelajari ilmu persilatan Melayu.

Lelaki tegap berasal dari sebuah negeri di utara itu ingin dikenali sebagai Jinggo, 45.

Dia menzahirkan harapan agar kisahnya ini boleh dijadikan iktibar terutama kepada anak muda yang ingin mendalami ilmu seni mempertahankan diri tradisional itu.

“Pengalaman aneh dan menyeramkan itu telah saya pendam sejak 27 tahun lalu kerana malu dengan sikap takbur diri.

“Pesanan tok guru supaya saya belajar silat dengan ikhlas demi memelihara seni bela diri.

“Tetapi, saya abaikannya kerana merasakan saya yang paling berdarah pendekar berbanding rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di Tanjung Karang, Selangor baru-baru ini.

Jinggo berkata, pengalaman diuji dengan beberapa peristiwa menyeramkan semasa menuntut ilmu bela diri itu berlaku selepas timbul rasa takbur apabila tok guru sering memuji ketangkasannya bersilat.

Katanya lagi, pujian yang paling membuatkan dirinya terasa hebat adalah apabila dia memukul kawannya dengan seni pukulan sempurna.

“Akibat buah pukulan tersebut kawan saya sakit dada akibat dihentak dengan kepala lutut saya.

“Tok guru memberitahu bahawa di dalam gelanggang silat tersebut saya sudah mempunyai setitis darah pendekar di dalam diri.

“Sejak itu, kawan-kawan sering perlekehkan saya seolah-olah saya sahaja yang berdarah pendekar,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan Jinggo semakin yakin dengan diri dan sering rasa marah dan mudah mengamuk.

“Dinding rumah tidak kira batu atau papan saya tumbuk bagi melampiaskan amarah hingga pecah serta berlubang,” ujarnya.

Jelas Jinggo, peristiwa misteri satu demi satu berlaku selepas dia bersikap seperti menderhaka kepada bapanya kerana ingkar dengan arahan menyegerakan solat.

Peristiwa menggerunkan tersebut berlaku semasa berjalan pulang dari gelanggang silat pada waktu malam.

“Pada malam itu, sesi pembelajaran silat melibatkan permainan sundang yang mana dada saya dihiris dan disiat oleh tok guru tetapi tiada luka serta darah keluar. Mungkin ada ayat pendinding khusus yang dibacanya.

“Kira-kira 10 meter saya melangkah dari gelanggang, bunyi beribu ekor lalat seperti menghurung saya hingga sampai di rumah.

“Semasa mandi, bunyi lalat tersebut tetap ada seolah-olah badan berbau najis atau berdarah. Bunyi lalat itu terus bergema hingga saya melelapkan mata setelah sejam ‘melayan’ bunyi berkenaan,” katanya.

Menurut Jinggo lagi, kisah misteri tersebut masih belum berakhir apabila dia diuji dengan gangguan lembaga hitam pada satu malam semasa pergi ke gelanggang silat.

Ceritanya lagi, makhluk hitam yang entah datang dari mana menerkamnya semasa melalui satu kawasan semak.

“Makhluk itu berketinggian lebih 2 meter memeluk erat tubuh saya seperti ahli gusti.

“Saya tidak tahu sama ada ia manusia berpakaian hitam persis seorang pesilat atau makhluk hitam berbulu tetapi baunya sangat busuk.

“Selepas dua minit dipeluk erat makhluk tersebut, saya dilepaskan. Kemudian, saya mengumpul kekuatan dan berlari pantas ke gelanggang tanpa mempedulikan longkang atau semak samun,” katanya.

Semasa di gelanggang, kawan-kawannya ada bertanya faktor dia kelihatan cemas seolah-olah dikejar hantu.

Disebabkan masih ketakutan, Jinggo berdalih dengan mengatakan, dia sengaja berlari untuk memanaskan badan sebelum memulakan sesi belajar silat.

“Sejak itu sikap takbur saya terus lebur. Setelah mengalami dua peristiwa misteri dalam tempoh singkat,” katanya.

Selepas peristiwa dipeluk makhluk hitam tersebut Jinggo akan ke gelanggang sambil ditemani kawan-kawan.

Peristiwa menyeramkan itu tersimpan kemas di dalam dirinya lebih dua dekad.

Ia juga menjadi punca kepada perubahan sikap dirinya yang lebih menghormati ibu bapa dan kawan-kawan sepermainan.

“Pesan saya kepada anak-anak muda agar menggunakan ilmu persilatan Melayu dengan niat untuk memelihara seni budaya bangsa.

“Jangan riak dan takbur walaupun kita handal bersilat dan pandai bermain senjata seperti keris, rotan dan sundang.

“Kalau rasa diri handal, sebenarnya masih ada orang lain lebih hebat daripada kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN