fbpx
NABILA reda dengan apa yang berlaku terhadap perkahwinannya selepas disahkan mandul. – Gambar hiasan

Dicerai talak tiga selepas disahkan mandul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP individu yang membina hubungan kasih sayang pasti tidak mahu ia diakhiri dengan kedukaan apatah lagi perpisahan.

Begitu juga dengan hubungan perkahwinan yang terbina atas dasar cinta antara pasangan suami isteri.

Setiap pernikahan yang dimeterai pasti mahu diserikan dengan kedatangan cahaya mata sebagai pelengkap keluarga.

Menyorot kembali ceritera duka sekitar empat tahun lalu, Nabila (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka relung hidupnya berubah 360 darjah selepas bergelar isteri.

Ujarnya, dia juga mahukan sebuah rumah tangga bahagia di samping suami dan anak-anak tersayang selepas sah menjadi isteri kepada Fahmi (bukan nama sebenar).

Pun begitu, siapa kita untuk menentukan dan menetapkan kebahagiaan dikecapi. Ibarat kata pepatah, kita hanya merancang tetapi Tuhan menentukan.

“Saya kenal dengan suami sejak kami sama-sama belajar di universiti.

“Dia tua tiga tahun daripada saya dan perkenalan kami begitu singkat sebelum sama-sama ambil keputusan bersama.

“Usai tamat pengajian, kami memilih untuk bernikah dan berkongsi hidup sebagai pasangan suami isteri.

“Pernikahan kami juga direstui oleh kedua-dua belah keluarga kerana sudah saling mengenali sejak di alam kampus lagi,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Nabila yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya memberitahu, dia benar-benar bahagia dikurniakan suami sangat memahami dan menerima dirinya sebagai peneman hidup.

Katanya, selepas lebih setahun bernikah, dia pernah ditanya suami sama ada sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

SEMUA pasangan yang berkahwin berharap untuk menimang cahaya mata sebagai penyeri keluarga.
– Gambar hiasan

Jelasnya, ini memandangkan kedua-dua mereka terlalu sibuk dengan kerjaya.

“Setahun selepas bernikah, suami beritahu saya, dia mahukan anak dan sudah bersedia bergelar bapa.

“Saya pun okey sahaja dengan permintaan suami kerana merasakan sudah betul-betul bersedia bergelar seorang ibu,” katanya.

Jelas Nabila yang merupakan anak jati Batu Pahat, Johor itu, selepas hampir tiga tahun mereka mencuba mendapatkan zuriat, tetapi ‘rezeki’ berkenaan masih belum kunjung tiba.

Katanya, dia dan suami langsung tidak pernah mengalah untuk mendapatkan anak sementelah kedua-dua mereka masih muda.

“Macam-macam cara saya dan suami usahakan untuk dapatkan zuriat. Cakaplah apa sahaja yang kami tidak cuba.

“Makan ubat sampai naik muntah, buat rawatan alternatif juga pernah kami cuba. Itu belum urut peranakan, sampai naik lemah saya ‘dikerjakan’ tukang urut.

“Tetapi mungkin memang belum ada rezeki. Jadi, saya dan suami terus berusaha. Bab duit jangan cakaplah, rasanya tak terkira berapa banyak sudah kami habis untuk itu,” katanya.

Ujar Nabila lagi, suaminya juga mula sedikit demi sedikit menunjukkan rasa tertekan apabila kerap kali ditanya ibunya berkenaan zuriat.

Selepas tujuh tahun berlalu, namun zuriat yang dinantikan tetap tidak kunjung tiba.

“Lebih sedih, apabila hasil pertemuan bersama pakar, semuanya berakhir dengan jawapan mengecewakan.

“Mereka (pakar) mengatakan saya mandul dan memang sukar untuk mengandung.

“Jawapan tersebut membuatkan suami lebih tertekan kerana merasakan ketidakadilan dalam rumah tangga yang dibina.

“Sikap pemarah dan panas baran yang tidak pernah saya lihat sepanjang mengenali suami juga mula ditunjukkan satu persatu.

“Luluh hati dan seakan-akan tidak percaya apabila suami yang sebelum ini penyabar mula menyalahkan takdir.

“Ini kerana saya mandul dan tidak dapat memberikan zuriat kepadanya,” katanya lagi.

Klimaks kepada kisah duka itu, Nabila memberitahu, suaminya bertindak melafazkan cerai talak tiga selepas genap lapan tahun perkahwinan mereka.

Katanya, biarpun sudah berusaha menyelamatkan rumah tangga yang dibina, tetapi siapa dia untuk menentukan segalanya.

Akui Nabila lagi, dia reda dengan apa yang berlaku terhadap dirinya.

Katanya, dia menerima kekurangan yang ‘dianugerahkan’ Allah SWT itu sebagai kekuatan untuknya meneruskan hidup pada hari-hari mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN