fbpx

Karnival Kerjaya Perkeso tawar 5,000 peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pengunjung yang menghadiri Karnival MYFuture Jobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 11 Februari lalu. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

PETALING JAYA – Lebih 5,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Ke­selamatan Sosial Suri Rumah 2023 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan diadakan di Batu Gajah, Perak pada 25 dan 26 Februari ini.

Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar dijangka merasmikan karnival itu.

Perkeso dalam satu kenya­taan berkata, ia merupakan sebahagian siri jelajah yang bermula dengan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari lalu.

Katanya, pada karnival itu, 25 majikan mengambil bahagian untuk memberi peluang pekerjaan.

“Antaranya Perak Community Specialist Hospital, Mydin Mohammed Holdings Berhad, Maybank Berhad, Samsung Electronics (M) Sdn Bhd, 99 Speedmart Sdn Bhd, Genting Malaysia Berhad, McDonald’s Malaysia, 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. dan AEON Co. (M) Berhad,” kata kenyatan itu semalam.

Perkeso be­kerjasama de­ngan Majlis Daerah Batu Gajah dan Pusat Aspirasi Anak Perak bagi menjayakan karnival dua hari itu.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk pendaftaran di Portal MYFutureJobs, bantuan penyediaan resume serta khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, yang merupakan tonggak kepada perkhidmatan pekerjaan Perkeso, sehingga kini telah membantu 776,742 orang pencari kerja memperoleh pekerjaan.

Sementara itu, sejajar de­ngan matlamat untuk membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif di Malaysia, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) telah dilaksanakan pada 1 Disember 2022.

Sepanjang program dua hari itu, booth ­pameran SKSSR disediakan untuk memberi pe­nerangan kepada ­pengunjung dan membolehkan golongan suri rumah membuat pendaf­taran dan mencarum menerusi skim tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI