fbpx

Mat saleh ‘pasport bros’ idam gadis timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Baru-baru ini kecoh di TikTok tentang trend ‘sekian lama’ tetapi baru kini tular. Trend tersebut kontroversi selepas ramai wanita Amerika Syarikat (AS) memuat naik klip video menghentam habis-habisan lelaki-lelaki yang mereka namakan ‘passport bros’.

Kalau dahulu, terma itu merujuk kepada lelaki AS yang pergi ke luar negara kerana mahu berseronok dengan meniduri wanita asing. Kini, ia lebih tertumpu kepada lelaki AS juga, namun mereka kembara untuk mencari calon isteri kerana sudah bosan dengan wanita tempatan.

Trend itu kontroversi selepas lelaki-lelaki AS berkongsi klip video menceritakan kebahagiaan bersama wanita asing khususnya wanita Asia yang dikatakan ‘tidak sombong’, ‘tidak begitu materialistik’ dan ‘lebih memahami’ serta yang utama, ‘penyayang’.

Malah, ramai antara mereka berkahwin dengan wanita asing dan membawa isteri masing-masing pulang ke AS.

Persoalannya di sini kenapa lelaki AS ‘fed up’ dengan wanita tempatan terutamanya wanita kulit putih?

Jawapannya sukar tetapi mungkin ada kaitan dengan gerakan feminisme Barat. Evolusi masa menyaksikan ciri ‘kejantanan’ dan ‘macho’ dahulunya menjadi ‘piawaian’ untuk lelaki tetapi kini sudah tabu.

Perubahan ini menyaksikan wanita Barat menuntut lelaki menjadi ‘feminin’ dan mereka pula menjadi ‘lelaki’.

Evolusi pendidikan dan teknologi melihat lebih ramai wanita bergaji tinggi dan setanding, jika tidak lebih kaya daripada lelaki.

Mereka penat bekerja dan mahu dibelai pasangan. Di Barat, bukan lagi wanita untuk memasak atau mengemas rumah selepas pulang dari pejabat. Mereka mahu dibelai pasangan seperti lelaki dibelai isteri apabila pulang kerja. Lelaki di Barat perlu ‘docile’.

Wanita Barat juga semakin materialistik dan mahukan kesenangan. Istilah lelaki Malaysia seperti ‘beras kita beli’ tidak boleh dipakai kerana wanita hari ini membayar untuk kereta, rumah, segala bil utiliti, sedangkan lelaki cuma membeli barang dapur.

Kelebihan wanita dari sudut kewangan menjadikan lelaki kini ‘hilang bisa’ di mata mereka. Tiada istilah macho walaupun badan sasa kerana hendak belikan rokok pun perlukan duit isteri.

Mungkin sebab itulah lelaki di AS beramai-ramai pergi ke negara lain lain untuk mencari isteri. Mereka sudah hilang bisa dan wanita di sana tidak lagi takut atau hormat kepada lelaki.

Berbeza di Asia kerana lelaki kelas sederhana di AS mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada ramai wanita Asia sekali gus membolehkan mereka memainkan peranan tradisional sebagai bapa dan ketua keluarga.

Manakala tradisi dan cara membesarkan anak perempuan di Asia juga berbeza. Wanita Asia menghormati orang tua dan suami. Dan ini boleh dikatakan sesuatu yang sihat kerana ibu bapa bahagia membawa kepada keluarga bahagia.

Wanita AS pula usahlah marah kerana anda juga boleh bertindak serupa. Anda juga boleh menjadi ‘pasport sis’ dengan mencari calon suami di negara luar termasuk Asia. Ramai sahaja lelaki Asia yang mahu menjadi surirumah dan serta menurut kata isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI