fbpx

Didakwa berhutang RM150,000, Studio Kembara mahu saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Rahman berpendapat wujud dakwaan tidak benar yang boleh dianggap sebagai cubaan menipu Studio Kembara selain mencemarkan nama syarikat tersebut. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PETALING JAYA – Studio Kembara selaku penerbit filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat dakwaan palsu menyatakan pihaknya berhutang sebanyak RM150,000 membabitkan isu lokasi penggambaran.

Penerbit dan Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mt Dali berkata, tuduhan tersebut mencemarkan nama syarikat kerana sepanjang pengetahuannya semua pembekal yang terbabit dalam penggambaran filem tersebut sudah dibayar penuh.

Menurut Abdul Rahman lagi, daripada pemeriksaan didapati individu berkenaan bukan pemilik sebenar bagi hartanah yang digunakan sebagai lokasi ketika kerja penggambaran berlangsung sekitar awal 2019.

“Dakwaan kami ada berhutang sejumlah wang kepada individu bernama Zul Hassan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Kami juga menafikan bahawa individu berkenaan adalah pemilik bagi sebuah tanah di set penggambaran filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Individu tersebut hanya memegang status pemilikan tanah yang dijadikan set penggambaran pada 29 Julai 2019, sedangkan seluruh penggambaran filem telah selesai pada Februari 2019.

“Ini dapat dibuktikan melalui carian tanah di Kampung Padang Marhum, Lambor Kanan, Perak seperti yang didakwa,” katanya menerusi kenyataan kepada media.

Susulan itu, Studio Kembara berpendapat wujud dakwaan tidak benar yang boleh dianggap sebagai cubaan menipu pihaknya membabitkan individu dimaksudkan.

Oleh itu, unit undang-undang syarikat produksi berkenaan mahu menggunakan proses perundangan sebagai jalan penyelesaian berikutan terdapat unsur penipuan dan dakwaan palsu.

Studio Kembara tampil membuat penjelasan selepas lelaki berusia 60 tahun itu mendakwa dirinya pemilik tanah set penggambaran Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang masih lagi belum mendapat bayaran atas tugas dan kerja dibuat sebagaimana dijanjikan.

Menerusi kenyataan sama, Abdul Rahman menegaskan pihaknya juga tidak membuat sebarang binaan untuk penggambaran filem atas tanah yang didakwa milik Zul Hassan.

“Dakwaan binaan dibuat atas tanah beliau ini juga tidak benar kerana binaan berbentuk jeti dibina di atas tanah rezab sungai.

“Encik Zul Hassan tidak mempunyai apa-apa asas untuk menuntut bayaran mahupun imbuhan daripada kami.

“Malah, pihak subkontraktor Studio Kembara ada memberi sejumlah wang sebanyak RM3,000 kepada individu tersebut sebagai kos sewa jeti kerana beranggapan beliau adalah pemilik tanah tersebut yang kemudian disahkan tidak benar.

“Semakan kami juga mendapati terdapat bayaran lain yang tidak sepatutnya dibayar kepada individu sama tetapi telah dilunaskan melalui subkontraktor Studio Kembara,” katanya lagi.

Bersandarkan penelitian semula katanya, Studio Kembara turut didapati tiada sebarang janji, kontrak mahupun persetujuan dibuat antara syarikat dengan individu tersebut berkaitan sebarang kos untuk khidmat atau kerja sama ada sebagai penyedia tapak, pembinaan set, keselamatan, penginapan atau tugas lain.

“Kami mengesahkan bahawa semua set atau lokasi penggambaran dibuat di atas tanah atau tempat yang telah dibenarkan pemilik sah di sisi undang-undang.

“Kami turut menegaskan bahawa semua pembekal, penyedia perkhidmatan atau subkontraktor telah dibayar penuh atas kerja yang mereka lakukan dan tiada lagi bayaran tertunggak perlu dibayar Studio Kembara kepada mana-mana pihak.

“Ini dapat dibuktikan dengan segala rekod pembayaran yang kami simpan,” ulasnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI