ALOR GAJAH – Pengusaha chalet dan hotel di pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak di sini mula pening kepala selepas ramai pelanggan telah membatalkan tempahan penginapan hanya kerana kehadiran seekor buaya di lokasi berkenaan.
Rata-rata daripada pelanggan memberi alasan terpaksa membatalkan tempahan kerana bimbang dengan keselamatan keluarga ketika beriadah di kawasan pantai berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, penampakan sang bedal itu telah menimbulkan risiko keselamatan dan kegusaran kepada orang awam.
Menurut Ab. Rauf, pihaknya menerima aduan daripada persatuan dan pengusaha chalet di Masjid Tanah berhubung tindakan pelanggan yang membatalkan tempahan bilik setelah mengetahui ada haiwan pemangsa yang berkeliaran di pesisir pantai.
“Kita dapat banyak aduan mengatakan banyak tempahan (bilik) dibatalkan pada saat-saat akhir kerana pengunjung takut dengan kehadiran buaya.
“Justeru, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta beberapa agensi lain telah melaksanakan operasi mencegah, menangkap dan memindahkan buaya,” katanya pada sidang akhbar operasi menangkap dan memindahkan buaya di sini semalam.
Tambahnya, agensi lain yang terlibat termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin, Maritim Malaysia dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Perhilitan akan memasang dua perangkap di Tanjung Bidara dan Kuala Linggi untuk menangkap buaya yang berkeliaran.
“Ini bagi memastikan keselamatan orang awam semasa mengunjungi pantai perkelahan sentiasa terjamin,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, setakat ini belum ada aduan rasmi membabitkan serangan atau kacau ganggu buaya terhadap nelayan dan pengunjung di sepanjang pantai peranginan Masjid Tanah.
Katanya, penelitian terhadap klip video dan laporan yang tular mendapati buaya berkenaan hanya berkeliaran pada hujung minggu ketika orang ramai beriadah di kawasan pantai.
“Tidak ada kes setakat ini tetapi telah banyak dilaporkan dalam media sosial, kita ambil perhatian dan telah mulakan dengan menelusuri pantai untuk melihat sekiranya ada pergerakan buaya.
“Hanya seekor buaya yang dikesan berkeliaran. Jadi, kita akan meletakkan kawasan ini untuk perhatian semua pihak berwajib supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video menunjukkan seekor buaya sedang berenang didakwa di Pantai Klebang di sini sejak beberapa hari lalu, sekali gus menimbulkan rasa panik dalam kalangan pengunjung.
Pada 4 Jun 2021, sekumpulan nelayan di Jeti Nelayan Pantai Siring, Jasin gempar selepas seekor buaya tembaga sepanjang 3.6 meter ditemui tersangkut pada jaring.














