fbpx

Fasha Sandha belanja ‘rider viral’, anggap remaja contoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN membawa Shahril makan di sebuah restoran, Fasha juga bermurah hati memberi hadiah wang tunai kepada remaja itu atas sikap baik yang ditunjukkan kerana bertanggungjawab selepas terlibat dalam kemalangan.

PETALING JAYA – Usaha pelakon terkenal Fasha Sandha menjejaki seorang penghantar makanan bermotosikal yang kisahnya tular sejak Ahad lalu berhasil selepas akhirnya bertemu dengan remaja tersebut petang semalam.

Menerusi hantaran yang dikongsikan Fasha dalam Instagram miliknya, pelakon berusia 38 tahun itu sangat gembira dan bersyukur apabila niatnya untuk berjumpa dengan remaja dikenali sebagai Shahril Zakaria, 19, itu dipermudahkan dengan izin Allah SWT.

Dalam pertemuan tersebut, kelihatan Shahril diraikan oleh Fasha sekeluarga menikmati hidangan istimewa di sebuah restoran masakan timur tengah, sebagai tanda penghargaan untuknya.

“Dengan izin Allah SWT, dapat berjumpa dengan ‘adik Grab contoh’ yang tular ini. Semoga kita dapat mengambil tauladan daripada kisah ini.

“Semoga adik ini berjaya. Namanya Shahril Zakaria, 19 tahun. Tidak aktif dalam media sosial katanya. Baik budi. Terima kasih abang long (abang ipar saya) yang tolong menghubungkan kami dengannya. Alhamdulillah,” ujar Fasha.

Sementara itu, isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia terpanggil untuk berjumpa dengan Shahril kerana terharu dengan sikap jujurnya apabila tidak melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta milik seorang pengguna jalan raya.

“Kalau ada cerita-cerita tular membabitkan penghantar makanan (rider), saya akan jadi sebak. Sebab saya sudah anggap mereka juga sebagai frontliner (petugas barisan hadapan) ketika negara dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi rasa sangat terharu apabila mengetahui kisah tentang dia (Shahril) dan ditambah dengan kejujurannya,” ujar Fasha.

Dalam pertemuan semalam, selain menjamu Shahril dengan hidangan yang enak, Fasha turut bermurah hati menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada remaja itu sebagai tanda penghargaan.

“Kisah adik Shahril ini wajar dijadikan tauladan dan tidak keterlaluan jika saya kata dia wajar dijadikan contoh kepada pemuda lain terutamanya penunggang motosikal.

“Jika berlaku perkara sama seperti yang dilalui Shahril, sepatutnya mereka berhenti dan memohon maaf. Kerana Kejujuran itu lebih penting sebenarnya,” katanya.

Semalam, pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu meminta bantuan peminatnya mencari Shahril selepas tersentuh melihat peribadi baik remaja itu ketika terlibat dalam sebuah kemalangan melibatkan motosikalnya bersama sebuah kereta mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

Bagaimanapun, remaja itu tidak melarikan diri selepas melanggar kereta milik TikToker terkenal itu dan mengakui kesalahannya sebelum dimaafkan oleh pemilik kereta tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI