PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga M) bagi saingan 2023 pada tahun lalu menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tempatan.
Kini, saingan Liga M musim 2023 bakal membuka tirainya bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).
Penstrukturan baharu Liga M tahun ini turut menyaksikan pertandingan Liga Simpanan yang dikenali sebagai Piala MFL diadakan buat kali pertama, manakala MFL Challenge Cup dipertandingkan semula selepas tiga tahun.
Sehubungan dengan itu, sudah pasti peminat bola sepak tempatan sudah tidak sabar untuk melihat dan menilai perubahan penstrukturan tersebut mampu memberi impak terhadap kualiti bola sepak negara.
Wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam untuk merungkai beberapa persoalan menjelang pembukaan Liga M pada 24 Februari nanti.
Kosmo! Ahad: Apakah harapan tuan terhadap musim baharu ini selepas beberapa pembaharuan diperkenalkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)?
Stuart Ramalingam: Tahun ini akan menjadi ujian terhadap perubahan yang telah kami lakukan dan pelarasan yang akan disesuaikan dengan keseluruhan industri.
Saya berharap, kami dapat meningkatkan jenama, kesedaran dan penerimaan Liga M untuk semua dan mencipta peminat baharu.
Salah satu pembaharuan yang dibuat MFL adalah membenarkan pasukan mendaftar sembilan pemain import. Apakah rasional tindakan ini kerana ada pihak mendakwa ia akan menjejaskan perkembangan para pemain tempatan?
Perkara ini telah diumumkan agak lama dahulu dan kami menghuraikannya semasa pengumuman itu.
MFL telah mengambil langkah untuk memastikan peraturan sembilan pemain asing digunakan untuk semua pasukan.
Ini kerana ia sudah menjadi peraturan sedia ada (bukan baharu) yang digunakan oleh pasukan yang mempunyai pasukan simpanan dalam Liga Premier sejak beberapa tahun lalu. Jadi, sekarang peraturan ini diguna pakai untuk semua pasukan dalam Liga Super.
Pastinya pertambahan kuota pemain import akan mendorong pasukan berbelanja lebih besar untuk membayar gaji. Ada pihak yang bimbang langkah ini akan menjerat pasukan Liga M kepada masalah gaji selepas musim bermula. Minta penjelasan mengenai perkara ini?
MFL hanya boleh memperkenalkan peraturan, namun kelab mesti menguruskan diri dan belanjawan mereka mengikut kemampuan mereka sendiri.
Saya percaya banyak kelab Liga M telah menunjukkan peningkatan yang sangat baik dalam menambah baik cara mereka menguruskan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan baharu.
MFL percaya kelab akan terus berusaha melakukan yang terbaik pada musim baharu ini.
Pada musim ini, MFL membuat pembaharuan dengan memansuhkan Liga Premier (M2). Ada pihak menganggap tindakan ini merupakan langkah ke belakang kerana mengurangkan kerancakan Liga M. Apakah pandangan tuan mengenai perkara ini? Bagaimana pula dengan Piala MFL sebagai pengganti M2?
Bergantung pada cara anda melihatnya. Adakah Liga Premier sebelum ini sempurna dan memenuhi tujuannya?
Memang bagus untuk mempunyai pertandingan tahap M2 tetapi kita mesti memahami kekangan semasa bola sepak Malaysia.
Kami memerlukan lebih banyak perlawanan di peringkat teratas (Liga Super) dan kami tidak mempunyai kelab profesional yang mencukupi di Malaysia.
Pasti ada masa yang sesuai untuk kami memperkenalkan semula M2 pada masa hadapan.
Namun, kami mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan untuk membangunkan lebih banyak kelab profesional di Malaysia terlebih dahulu.
Pada musim ini, MFL memperkenalkan perlawanan pada sebelah petang. Apakah faktor utama perlawanan sebelah petang diperkenalkan? Adakah untuk tujuan komersial televisyen atau menarik kehadiran penonton ke stadium?
Sasaran kami adalah untuk menyajikan aksi bola sepak kepada peminat di stadium dan penonton di rumah dengan tawaran baharu.
Dengan kepelbagaian masa sepak mula dan adanya perlawanan petang ini akan memberikan pendekatan dinamik baharu kepada saingan Liga M. Saya pasti, ramai menantikan pembaharuan ini.
MFL telah mengumumkan Astro dan RTM sebagai penyiar rasmi Liga M pada tahun ini. Bagaimanapun ada peminat tidak bersetuju kerana mereka terpaksa membayar untuk menonton perlawanan menerusi Astro kerana tidak semua melanggan saluran berkenaan. Ini berbeza dengan saluran YouTube yang menyiarkan secara percuma. Minta penjelasan?
Bola sepak mesti diberi nilai di Malaysia. Kami perlu bergerak ke arah industri yang kukuh dan stabil sambil disokong oleh rakan korporat serta strategik bagi mengembangkan sukan bola sepak bersama kami.
Bola sepak sedang berkembang dan dengan evolusi serta tuntutan profesional. Kita mesti memahami cara memajukan industri ini ke hadapan dengan perubahan dan cabaran yang mesti dihadapi.

Memandangkan Astro dan RTM sebagai penyiar rasmi pastinya akan menjanjikan pendapatan penyiaran lebih lumayan kepada MFL pada musim ini. Jadi, berapa pendapatan yang akan diperoleh oleh setiap kelab daripada hak penyiaran? Ini kerana ada kelab yang bergantung sepenuhnya kepada hak penyiaran untuk membayar gaji pemain.
Kelab beroperasi mengikut kemampuan mereka dan pembiayaan yang disediakan oleh MFL hanyalah sebahagian daripada hasil keseluruhan mereka.
Kami tidak boleh berkongsi perkara ini di sini dan akan mengumumkan pembayaran kelak mengikut perancangan.
Dua musim sebelum ini, kita dapati jadual perlawanan setiap pasukan tidak tersusun dengan rapi disebabkan pertindihan dengan perlawanan antarabangsa dan sebagainya. Disebabkan itu ada penyokong yang terlepas perlawanan penting kerana tidak tahu perubahan jadual perlawanan. Boleh tuan ulas usaha yang telah diambil bagi mengatasi masalah ini?
Kita perlu ingat bahawa dua tahun lebih negara kita menghadapi pandemik Covid-19. Banyak perkara di luar kawalan kami.
Pada masa ini, kami gembira kerana telah berjaya membawa industri bola sepak mengharungi wabak ini dengan sokongan hebat oleh semua kelab serta pihak pengurusan masing-masing.
Kini, kami akan terus menambah baik perancangan jadual perlawanan Liga M musim ini.
Kami akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk cuti umum, perkongsian stadium, perancangan skuad kebangsaan, sekatan negeri dan lain-lain.
Tahun ini juga, MFL dikatakan akan memperkenalkan teknologi video bantuan pengadil (VAR) pada beberapa perlawanan penting sebagai langkah percubaan. Ini bermakna MFL hanya akan menggunakan VAR sepenuhnya pada musim 2024. Adakah ia boleh dilakukan dan kos yang perlu ditanggung MFL bagi penyediaan kelengkapan VAR?
Pengadil berada di bawah kawal selia FAM dan kami bekerjasama rapat dengan FAM untuk memastikan peningkatan musim ini.
Mengenai masalah gaji pemain, kita tidak mahu perkara yang terjadi kepada Melaka United dan Sarawak United berulang pada pasukan lain musim ini. Apakah usaha MFL untuk memastikan perkara ini tidak berulang? Perlukah setiap pasukan menghantar penyata akaun mereka pada setiap bulan?
Kami mempunyai kaedah kami dan ia telah menambah baik sistem sejak kebelakangan ini.
Kami telah menyingkirkan pasukan yang bermasalah dan kami akan terus memantau keadaan ini.
Kami berharap masalah ini akan terus bertambah baik dari semasa ke semasa.
Akhir sekali, apakah harapan tuan terhadap musim baharu Liga M. Adakah tuan fikir ada pasukan lain yang mampu memberi saingan kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun ini?
Berdasarkan perancangan dan persiapan pramusim kelab-kelab ketika ini, saya percaya banyak pasukan sedang melakukan yang terbaik untuk memberi saingan hebat kepada JDT.
Saya hanya menantikan satu musim yang menarik. Saya mendoakan yang terbaik untuk semua kelab pada musim ini.















