KOMEN pedas Mas Idayu dalam Famili Duo tiga minggu lalu bukan sahaja mencetuskan rajuk Sissy Imann, sebaliknya menjadi pucuk muda itu lebih kental.
Sissy Imann agak asing buat segelintir individu, barangkali disebabkan genre muziknya yang bukanlah mainstream seperti kebanyakan penyanyi. Namun, siapa sangka kritikan yang diterima boleh diibaratkan sebagai titik tolak untuk penyanyi berusia 28 tahun ini lebih matang meneruskan pelayarannya bergelar penghibur ternama satu hari nanti.
Bukan sengaja membikin drama meraih simpati apatah lagi gimik murahan, akui Sissy, insisen tersebut memberi impak besar terhadap pemikirannya. Dia mula meragui nilai ilmu muzik yang dipelajari sejak berusia 10 tahun.
“Jiwa mana yang tidak rapuh apabila menerima komen sebegitu.
“Saya akui khilaf sendiri kerana ‘hilang’ dan beremosi selama beberapa hari sehingga banyak tanda tanya muncul dalam kepala seperti tahap kecintaan terhadap muzik.
“Berkurung dalam bilik selama beberapa hari buat saya menilai semula kelemahan diri dan mempersoalkan mengapa perkara yang dicintai iaitu muzik memperlakukan diri saya sebegini,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Kecewa, satu rasa yang cukup menjelaskan keseluruhan situasi. Bukan hanya Sissy mahupun Mas Idayu, malah peminat dan rakan selebriti turut meluahkan hal sama.

Jiwa kental
Katanya, dia tidak boleh lari daripada dihurung perasaan tersebut tambahan pula tidak cukup kental ketika terduduk dek ‘tragedi’ tersebut.
Dalam jutaan yang melayangkan kata-kata semangat, wujud juga segelintir individu berpandangan pelantun lagu Bebas itu sebagai selebriti ‘mengada-ngada’ atau sengaja mencari jalan pintas untuk mengecap populariti segera.
“Saya sedar ada orang kata saya mengada-ngada dan sengaja mencipta kontroversi murahan sendiri.
“Setiap orang akan melalui fasa emosi turun naik dan saya telah merasakannya ketika itu. Lebih-lebih lagi saya ini seorang perempuan, mudah beremosi dan agak sensitif dengan sesuatu perkara.
“Biarlah orang nak mengata apa pun, asalkan saya tahu dan sedar kesilapan sendiri walaupun perlu menerima kritikan sebegitu. Secara tidak langsung belajar untuk tidak melakukan kesilapan sama,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia menafikan tidak boleh menerima kritikan seperti yang didakwa ramai.
“Saya bukan artis yang tak boleh dikritik sebab pernah kena lebih teruk sebelum ini semasa menyertai Big Stage musim pertama.
“Kalau nak cakap mengada-ngada pun tak boleh juga sebab cara saya hadapi emosi kali ini lebih matang berbanding dahulu. Apa pun semuanya terpulang kepada orang untuk menilai,” ungkapnya.
Biarpun dikecam, bekas pengacara Muzik-Muzik itu bersyukur, kontroversi tempoh hari membuatkan namanya semakin dikenali ramai.
“Sejak kes Famili Duo itu, ramai mula menyapa dan sedar kewujudan saya dalam industri seni.
“Bila difikirkan semula, rajuk dan kekecewaan itu terubat dengan maklum balas positif orang ramai.
“Tidak kisahlah orang kenal sebab perkara kurang baik, sebab saya percaya semuanya akan menjadi positif kelak,” ujarnya.

Syok sendiri?
Mengetengahkan muzik berentak pop dengan elemen jazz dan broadway, ramai melemparkan pandangan, genre tersebut tidak kena dengan selera peminat muzik tanah air.
Selain muzik, suara Sissy itu turut menjadi pertikaian netizen sehingga digelar ‘suara tersepit pintu.’
“Macam-macam kritikan seperti tertelan biji kacang dan tersepit pintu. Mungkin mereka nak cakap nada suara nipis.
“Tidak boleh buang pun tetapi perlu perbaiki untuk jadi lebih baik.
“Memang masih wujud kritikan sebegitu tetapi rasa bangga sebab bermakna orang sudah kenal jenis suara saya,” katanya sambil tersenyum lebar.
Baginya, dalam bidang seni tiadala istilah ‘tidak’ untuk setiap kreativiti termasuk jenis muzik.
“Dalam dunia seni, tiada istilah ‘tidak’ dan semua bebas untuk mencipta jenis kreativiti atau identiti sendiri.
“Jadi, tiada istilah syok sendiri pun. Setiap muzik ada kelompok peminat sendiri begitu juga saya,” tuturnya lagi.

Pelangi selepas hujan
Tidak terlepas daripada berkongsi cerita mengenai albumnya, Sissy sebenarnya sudah mengeluarkan cetakan kedua selepas menerima lebih 1,000 tempahan ketika ini.
“Mulanya memang tidak rancang untuk terbitkan banyak salinan tetapi ramai pula yang ingin membuat tempahan.
“Tidak sangka pula masih ramai mahu membeli album fizikal. Mungkin inilah orang kata pelangi yang muncul selepas hujan,” jelasnya.
Dia bagaimanapun memberitahu tidak akan menjual album tersebut dalam kuantiti yang banyak kerana mahu menjadikannya sebagai edisi terhad.
“Bukan kedekut tetapi saya mahu menjadikannya sesuatu yang istimewa dan edisi terhad untuk pembeli.
“Jika tidak berkesempatan membeli selepas ini, jangan risau sebab akan dilancarkan dalam semua platform digital nanti, sabar ya,” jelasnya lagi.
















