fbpx

Jemaah Menteri setuju cadangan pinda Perlembagaan status anak lahir luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi kenyataan bersama.

Menurutnya, pindaan itu membabitkan Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

“Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’.

“Pindaan perkataan itu sekali gus membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen kali ini setelah memenuhi kehendak undang-undang.

“Pada masa sama, pindaan lain berkaitan kewarganegaraan terutama Bahagian III akan dikaji lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan dibawah KDN dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kesan daripada keputusan itu, anak lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI