fbpx

7 peratus pekerja p-hailing penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati sebanyak tujuh peratus daripada kira-kira 4,926 pekerja sambilan p-hailing yang disoal selidik merupakan penjawat awam.

Menurut DOSM, sebanyak 14.23 peratus daripada mereka merupakan pekerja swasta, manakala sebanyak 5.60 peratus lagi terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri.

“Sebanyak 1.46 peratus adalah pelajar dan 1.25 peratus pekerja badan berkanun,” kata DOSM dalam Laporan Kajian Pekerja Gig Dalam Perkhidmatan Penghantaran Makanan dan Barangan Yang Bekerja Sendiri 2022.

Terdahulu, DOSM memaklumkan, kajian bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2022 yang melibatkan seramai 6,657 pekerja p-hailing itu mendapati 70.35 peratus responden menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama.

Manakala, sebanyak 29.65 peratus individu atau kira-kira 4,926 pekerja p-hailing tidak menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama mereka.

Kata DOSM, hasil kajian juga menunjukkan 97.71 peratus pekerja p-hailing merupakan golongan belia yang terdiri daripada individu berumur 15 hingga 30 tahun.

“Manakala 2.29 peratus merupakan golongan warga emas yang terdiri daripada individu yang berumur melebihi 60 tahun.

“Dari segi tahap pendidikan pula didapati kebanyakan pekerja p-hailing mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau setaraf (39.54 peratus).

“Kelulusan diploma dan setaraf (23.24 peratus) dan ijazah sarjana muda (11.79 peratus). Dapatan juga menunjukkan terdapat 0.21 peratus pekerja p-hailing yang tidak bersekolah dan 0.99 peratus tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik,” kata DOSM.

Menurut DOSM, analisis juga menunjukkan pendapatan tertinggi diperoleh antara RM1,501 hingga RM2,499 (26.78 peratus) diikuti RM1,500 dan ke bawah (23.39 peratus) serta RM2,500 hingga RM3,170 (11.67 peratus).

Tambah DOSM, tiga kategori tertinggi dari segi waktu bekerja pekerja p-hailing dalam seminggu 49 jam sehingga 84 jam (30.79 peratus), 30 jam sehingga 48 jam (25.84 peratus) dan kurang 30 jam (25.42 peratus).

“Sebanyak 72.25 peratus responden telah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala 27.75 peratus tidak melakukan sebarang caruman dengan Perkeso.

“Hanya 22.05 peratus pekerja p-hailing mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala 77.95 peratus tidak melakukan sebarang caruman dengan KWSP.

“Dari segi pemilikan polisi insuran didapati sebanyak 45.07 peratus pekerja p-hailing mempunyai polisi insurans sendiri, manakala 54.93 peratus adalah sebaliknya,” kata DSOM.

Tambah DOSM lagi, kajian mendapati lima sebab utama pekerja p-hailing menyertai perkhidmatan itu untuk menampung perbelanjaan harian, membantu keluarga, mempunyai masa bekerja yang fleksibel,membuat simpanan dan tidak terikat dengan peraturan atau kontrak pekerjaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI