fbpx

Mahkamah: Bekas pelajar OKU dibuli fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan Putrajaya

PUTRAJAYA – Seorang bekas pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) sebuah sekolah pendidikan khas memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini semalam, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak samannya terhadap empat pihak termasuk sekolah terbabit berhubung insiden dibuli oleh rakan sekolah.

Tiga lagi pihak adalah pengetua sekolah sama, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.

Bekas pelajar itu memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co. terhadap keseluruhan keputusan dibuat Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang menolak tuntutannya dengan kos RM10,000.

Sementara itu, peguam bela perayu, Sangeet Kaur Deo ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara berkenaan.

Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan bekas pelajar terbabit selaku plaintif tidak berjaya membuktikan pihak berkenaan sebagai defendan gagal menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat di sekolah itu.

Nik Hasmat menegaskan pembelaan juga gagal membuktikan wujud kecuaian mengikut undang-undang daripada pihak defendan hingga menyebabkan plaintif dibuli.

Bekas pelajar lelaki itu, 25, memfailkan saman melalui ibu angkatnya pada 26 Mei 2017, masing-masing bertindak sebagai plaintif pertama dan kedua.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif pertama yang didiagnosis mempunyai ‘Attention Deficit Hyperactive Disorder’ (ADHD) sejak berusia empat tahun, turut mempunyai masalah di kaki kiri yang menyebabkannya sukar untuk duduk di atas lantai seperti pelajar lain.

Plaintif pertama didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas pada awal 2016 dan ditempatkan di asrama penuh sekolah terbabit.

Di sekolah baharu, plaintif pertama didakwa dimasukkan ke dalam kelas mengikut budi bicara sekolah, pengetua dan kementerian tanpa pemeriksaan sesuai, saringan khusus dan tanpa sebarang langkah mengenal pasti secara secara spesifik masalah pembelajarannya.

Sekolah itu dikatakan tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap pelajar mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran, sebaliknya semua pelajar autisme dilabelkan secara am iaitu mempunyai masalah pembelajaran.

Plantif memaklumkan defendan tidak menyediakan sistem pelajaran yang sesuai dan spesifik kepada masalah pembelajaran kanak-kanak istimewa, selain tidak melaksanakan sistem pendidikan khas yang berstruktur.

Menurut plaintif, pada pukul 10 malam, 17 Mei 2016, seorang pelajar istimewa datang ke bilik asrama plaintif pertama dan mengikat kakinya di katil dan seterusnya menumbuknya di bahu kiri.

Dalam kejadian lain, plaintif mendakwa, plaintif pertama turut diludah di kepala oleh pelajar lain ketika bersolat di surau asrama dan ditendang serta ditumbuk dari belakang.

Barang keperluan plaintif pertama seperti baju sukan turut dicuri, bagaimanapun pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan selain plaintif pertama berkali-kali diganggu dan didera secara mental oleh pelajar lain.

Sehubungan itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI