fbpx

Kontraktor tersepit 30 minit, selamatkan lori bergerak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lori yang terlibat dalam insiden rempuhan di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Seorang kontraktor terpaksa menahan sakit selama 30 minit selepas tersepit gara-gara cuba memberhentikan lori syarikat yang bergerak sendiri dan merempuh sebuah rumah di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Hafifi Nordin, 37, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke zon hijau Hospital Melaka menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa telah meletakkan lori tiga tan itu di kawasan di bahu jalan berhadapan sebuah rumah.

“Semasa mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan wayar telekomunikasi, tiba-tiba lori tersebut bergerak sendiri dan mangsa telah mengejarnya.

“Dia kemudian berjaya masuk ke dalam lori terbabit lalu terus menarik brek tangan serta menekan brek kaki, namun kenderaan itu tetap melanggar rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati bentuk jalan adalah menuruni bukit, manakala permukaan jalan kering dan tidak berturap, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Fadhil Saidin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.54 pagi dan seramai 16 pegawai serta anggota termasuk dari balai bantuan BBP Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi bersama-sama dua jentera dan dua buah ERMS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI