fbpx

AAGBS komited lahirkan  graduan sarjana bisnes berintegriti tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan akademik menjawab pertanyaan orang ramai pada Hari Terbuka AAGBS di UiTM, Shah Alam.

SHAH ALAM- Dunia tanpa sempadan hari ini  memerlukan pusat pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan siswazah yang bijak dalam bidang akademik malahan mewujudkan lebih ramai pemimpin perniagaan beretika dan mempunyai tahap integriti tertinggi.

Menurut Dekan Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad, bagi melahirkan pemimpin bisnes yang mempunyai kualiti sedemikian, program-program di AAGBS sentiasa disemak dan ditambah baik untuk menghasilkan graduan dengan ciri-ciri tersebut.

“Program kami sentiasa disemak pensyarah berpengalaman dan AAGBS sentiasa memastikan kurikulum akademik setiap kursus sentiasa relevan dengan keperluan pasaran. 

“Di samping itu, dalam usaha melahirkan graduan bisnes berintegriti, AAGBS komited menyokong konsep Madani Malaysia, falsafah nasional dan visi kerajaan untuk masyarakat yang adil yang mengutamakan nilai kasih sayang, saling hormat menghormati, inovasi, kepercayaan, inklusiviti, dan kesamarataan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Sempena Hari Terbuka AAGBS 2023 di UiTM di sini hari ini.

AAGBS adalah  sekolah perniagaan sarjana yang terkemuka di bawah UiTM yang menawarkan pelbagai program akademik sepenuh masa atau separuh masa, termasuk Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam (MIBF), Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), dan Doktor Falsafah (Pengurusan Perniagaan) sejak tahun 1994.

 

Syed Jamal berkata, dengan mengikuti pengajian di peringkat Sarjana di AAGBS, pelajar boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai peraturan baharu, dasar, standard, dan garis panduan lain yang  diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk mengawal bagaimana industri beroperasi dan melakukan perniagaan.

“Di AAGBS, pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) boleh mengambil kursus Analisis Perniagaan yang akan memberi manfaat kepada mereka di tempat kerja terutamanya sekarang banyak perniagaan memfokuskan kepada segmen Big Data.

“Dengan ini, pelajar boleh menguasai teknologi dan analisis data serta mempunyai kelebihan yang ketara untuk memasuki ke pasaran buruh global yang sangat kompetitif,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain kos yuran yang rendah berbanding pusat pendidikan tinggi lain, AAGBS turut telah memperolehi pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21).

Tambahnya lagi, AAGBS juga dalam proses memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang lain yang dikenali sebagai Persatuan Menyokong Sekolah-Sekolah Kolej dan Universiti Perniagaan (AACSB).

“Dengan komitmen untuk menjadi jenama global dengan menubuhkan perkongsian strategik dengan sekolah-sekolah perniagaan antarabangsa dan meningkatkan pendaftaran pelajar antarabangsa, AAGBS adalah tempat yang sempurna untuk mengejar pengajian pasca-sarjana anda.

 “Pelajar boleh melengkapkan ijazah pasca-sarjana mereka dengan program pertukaran luar negara di universiti rakan kami di seluruh dunia seperti Universiti Yamaguchi, Jepun dan Universiti Woosong, Korea Selatan, memperoleh ijazah berganda daripada Universiti Stuttgart of Applied Sciences Jerman atau diselia secara bersama oleh ahli akademik universiti tempatan dan antarabangsa,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI