fbpx
AINA ABDUL

AJL37 ‘Terus Hidup’ milik Aina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM kemuncak Anugerah Juara Lagu edisi ke-37 (AJL37) melabuhkan tirai dengan tiga mahakarya diangkat sebagai yang terbaik di persada seni muzik tanah air. Khalayak barangkali sudah tahu benar siapa dan apa yang mengungguli acara berprestij tersebut.

Aina Abdul secara tuntasnya ‘pecah telur’ menerusi karya Terus Hidup apabila menang tempat pertama, sementara legenda hip-hop, Joe Flizzow bersama sahabatnya, SonaOne duduk di posisi kedua melalui Satu Malam Di Temasek.

BERMULA pada 2014 menerusi Mentor Legend, terdahulu dalam beberapa perandingan termasuk terbitan RTM (2010), perjalanan tidak mudah Aina Abdul dalam bidang muzik hanya menunjukkan sinar gemilang pada AJL34 (2020) dengan lagu Sumpah.

Tuah juga berpihak kepada Alif Satar & The Locos (Anugerah Terindah) yang cemerlang di kedudukan ketiga.

Perlu diingatkan AJL adalah pentas untuk mengiktiraf karya-karya muzik terbaik negara, bukan siapa artis pilihan peminat. Fakta tersebut yang ditekankan Ketua Juri AJL37, Datuk Mokhzani Ismail bersama barisan juri lain yang sebulat suara memilih tiga lagu tersebut di podium tanpa menidakkan kehebatan naskhah lain.

Daripada 12 lagu bertanding, tujuh dalam genre pop balada, dua dalam kategori hip-hop, satu bernaung bawah nuansa R&B dan dua lagu lain bercorak etnik kontemporari.

Aina mendedikasikan kemenangan besarnya di pentas AJL37 buat Allahyarham bapanya, Abdul Ghani Abdullah.

Pemarkahan sengit

“Dua lagu sangat dekat jurang markah iaitu lagi Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek. Apabila pemarkahan dibuat, Terus Hidup menang pada melodi lagu tetapi dari segi kreativiti, ada pada lagu hip-hop, Semalam Di Temasek.

“Lirik kedua-dua lagu tersebut sangat kuat. Kami juri juga menghakimi dari segi vokal yang terbahagi kepada dua; rakaman studio dan persembahan atas pentas.

“Aina Abdul diangkat sebagai Vokal Terbaik dan itu antara faktor yang mengangkat markah menjadi sedikit lebih.

“Jurang antara juara dan tempat kedua adalah dua markah sahaja.

DATUK MOKHZANI

“Kami di meja juri tiada keraguan mengangkat Terus Hidup sebagai juara sebab rakaman studio dengan versi ‘live’ ada sedikit perbezaan.

“Kalau kalian lihat pada akhir persembahan ada chord progression yang biasanya akan menjerat penyanyi, tetapi Aina sampaikan dengan begitu bersahaja dan cemerlang. Jadi, kami sebulat suara menamakan dia sebagai juara AJL37 kali ini dengan tidak menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek,” kata Mokhzani kepada HibGlam pada sidang akhbar acara hebat tersebut.

Mokhzani tidak menafikan kehebatan lagu ciptaan Joe dan SonaOne tersebut.

Demi hip-hop! Joe Flizzow dan SonaOne membuatkan satu dewan Axiata Arena merinding menerusi persembahan luar biasa Satu Malam Di Temasek.

“Lagu ciptaan Joe dan SonaOne sebuah naskhah yang bersifat luar biasa. Kita pun tak boleh terfikir komposer dapat menghasilkan idea yang sebegitu rupa.

“Tempat pertama dan kedua dengan jurang yang dekat. Tapi, tempat kedua dan ketiga ada sedikit jurang. Kalau boleh saya ‘reveal’, nombor empat dan kelima antara lagu Korban (Ernie) dan Kembali Terang (Marsha).” ujarnya.

Tiga lagu disebut sebagai calon Persembahan Terbaik yang dimenangi Shiha Zikir (Irama) termasuklah Mainan (Naim Daniel) dan Semalam Di Temasek (Joe & SonaOne).

“Shiha Zikir meraih markah paling tinggi. Tidak dinafikan Mainan dan Semalam Di Temasek pun bagus.

“Tapi, kita melihat keseluruhan. Juri sebulat suara mengangkat persembahan Shiha Zikir sebagai pemenang Persembahan Terbaik,” katanya.

Mendendangkan lagu Sengsara, Khai Bahar membawa pulang Anugerah Pilihan Alha Alfa yang 100 peratus berdasarkan undian peminat.

Marsha terperangkap

Malam kemuncak juga menyaksikan pertarungan vokal antara tiga nama yang disebut-sebut iaitu Aina, Ernie dan Marsha.

Mokhzani memaklumkan, semua sudah menjalankan peranan yang sebagai vokalis, namun Aina jelas sebagai ‘clear winner’ kategori terbabit.

“Ernie memang tak boleh dinafikan tapi barangkali karyanya tidak begitu menonjol. Nyanyiannya bagus, cuma gubahan Aina lain dan nampak ‘besar’ lagunya.

“Marsha pun bagus cuma apabila terlalu banyak pekikan atau jeritan, kadang-kadang boleh memerangkap.

Shiha yang membuat kejutan menzahirkan persembahan bercorak futuristik dan penuh cahaya laser berpuas hati dengan trofi Persembahan Terbaik.

“Aina dengan gubahan dan melodi pada malam persembahan menjadikan dia teratas berbanding Ernie dan Marsha,” jelasnya.

Kesemua peserta bertanding berlapang dada dengan keputusan. Apa pun yang berlaku, AJL37 terpahat sebagai satu lagi anjakan buat industri seni muzik tanah air.

Rezeki sudah tertulis siapa yang menggenggam trofi namun usaha yang dicernakan paling utama utama.
AJL adalah satu ‘mercu tanda’ industri muzik tanah air yang ditunggu-tunggu saban tahun.

KEUPAYAaan Aina memberi kelainan gubahan Terus hidup menjadikan lagu itu lebih ‘besar’ sehingga layak menang vokal terbaik AJL37.

Pentas tersebut adalah ruang pelaku seni muzik Malaysia menonjolkan mahakarya masing-masing dan bereskprerimestasi dengan rencam magis perihal bernama muzik. Jangan dinafikan fakta tersebut.

Memetik kata Mr. President atau Joe Flizzow: “Macam pergi ke pameran dan kita tengok ada 12 lukisan. Muzik tetap muzik. Saya tidak melihat diri sebagai naib juara, keempat, ketujuh atau kesembilan dan orang lain mungkin kongsi pendapat yang sama.”

ALIF Satar & The Locos tidak pulang kehampaaan apabila lagu Anugerah Terindah mendapat tempat di hati untuk berada di kedudukan ketiga AJL37.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN