“KAWAN-KAWAN, kami terperangkap di bawah runtuhan akibat gempa bumi. Tolong selamatkan kami.
“Ibu, awak di mana? Awak okay tak? Tolong beritahu saya, awak kini di mana? Tolong!”
Itu antara kata-kata cemas yang meruntun hati netizen apabila salah seorang YouTuber mangsa gempa bumi menyiarkan video dirinya sendiri sedang terperangkap dalam runtuhan di kediamannya di Antakya, selatan Turkiye baru-baru ini.
Firat Yayla atau lebih dikenali sebagai Charmquell menyiarkan video secara langsung (live) itu kepada pengikut-pengikutnya.
Rayuan meminta pertolongan itu dilakukannya ketika berada di bawah celahan runtuhan menerusi Instagram, Facebook dan TikTok miliknya sekali gus memberitahu keadaan terkininya dari semasa ke semasa.
Tindakannya itu mengundang pilu di hati pengguna media sosial yang terus-menerus memberikan kata-kata semangat agar dia kekal bertahan dan jangan mudah mengalah.
“Saya tersepit di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi pertama di daerah Antakya di tengah wilayah Hatay.
“Saya betul-betul merayu untuk anda semua selamatkan kami. Selamatkan juga ibu saya yang entah di mana ketika ini. Tolong kami,” rayunya dalam siaran langsung itu lagi.
Selang beberapa jam selepas merayu menerusi media sosial, Yayla mengemas kini status terbaharunya mengesahkan dirinya sudah diselamatkan, tetapi ibunya masih tersepit di bawah runtuhan konkrit.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang berlaku pada awal pagi Isnin lalu itu yang berpusat di daerah Pazarick turut menggegarkan wilayah Kahramanmaras, Hatay, Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye dan Kilis.
Lebih memburukkan keadaan, dua lagi gegaran susulan bermagnitud 7.6 dan 13.2 pada hari sama di sebelah tengah hari turut menambah bilangan mangsa dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat.
Gempa dahsyat itu bukan saja melibatkan Turkiye tetapi juga Syria yang bersempadan dengannya membabitkan keseluruhan 874,000 penduduk, manakala lebih 6,000 bangunan runtuh.
Menurut laman web Eurasiatechtonics, Turkiye merupakan zon gempa bumi paling aktif di dunia dan ia turut diperakui ramai pakar berkaitan seismologi dunia.
Memetik sumber itu lagi, Turkiye juga berada di bawah plat anatolia yang mewujudkan dan menyebabkan berlakunya banyak gempa bumi di negara tersebut.

Sehingga kelmarin (Sabtu), jumlah mangsa korban gempa di Turkiye dan Syria adalah melebihi 24,000 orang dengan 20,000 daripadanya di Turkiye.
Lebih 60,000 orang telah dilaporkan cedera dengan jumlah kerugian ekonomi akibat gempa tersebut mencecah AS$4 bilion (RM17.3 bilion).
Turut menyentuh emosi ramai apabila mendengar rayuan seorang kanak-kanak perempuan bersama adiknya yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan menerusi video yang tersebar.
“Tarik saya dan adik saya keluar. Saya akan lakukan apa sahaja. Saya sanggup jadi hamba atau orang suruhan kamu asalkan kami dibantu,” rayu kanak-kanak perempuan sembilan tahun itu.
Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, fakta lebih 8,000 rakyat telah diselamatkan daripada timbunan runtuhan adalah kelegaan terbesar negaranya.
Susulan daripada itu, negara tersebut mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah supaya operasi mencari dan menyelamat serta usaha lain dapat dijalankan dengan pantas.
“Kami menghadapi bencana terbesar bukan sahaja dalam sejarah republik, tetapi juga geografi kami dan dunia.
“Kerajaan telah mengambil tindakan melibatkan semua institusinya sejak gempa berlaku. Semua sumber sudah digerakkan,” ujarnya.
Beliau juga menggesa rakyat agar bersatu hati dengan mengatakan mereka semua akan meninggalkan hari-hari yang buruk dalam suasana perpaduan sebagai sebuah negara dan rakyat.
Turkiye turut mewujudkan koridor bantuan udara menerusi angkatan tenteranya selepas gempa bumi awal bagi menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke kawasan berkenaan.
Sejumlah besar pesawat pengangkut telah menghantar pasukan mencari dan menyelamat serta kenderaan ke rantau berkenaan termasuk lebih 9,000 tentera Turkiye. Seramai 30,000 anggota penyelamat termasuk dari negara-negara luar telah tiba untuk membantu.
Memahami kesusahan dan bencana yang menimpa, Bank Dunia pada Jumaat lalu turut mengumumkan bantuan baharu sebanyak AS$1.7 bilion (RM7.37 bilion) dalam usaha membantu negara tersebut pulih daripada malapetaka.
Dalam pada itu, Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dalam kenyataannya memaklumkan seramai 60,218 pegawai perubatan telah dikerah ke kawasan itu.
Katanya, ini merupakan bencana terbesar di Turkiye sejak gempa bumi Erzincan pada tahun 1939 yang meragut puluhan ribu nyawa.
Tambahnya, semua acara sukan kebangsaan di Turkiye ditangguhkan dan semua sekolah di negara itu juga akan ditutup hingga Selasa ini (esok) dan sekolah di 10 wilayah terjejas pula hingga 20 Februari ini.
Beberapa parti yang mewakili Parlimen iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AK), Parti Rakyat Republik (CHP), Parti Baik (IYI), Parti Gerakan Nasionalis (MHP) dan Parti Demokratik Rakyat (HDP) turut mengeluarkan kenyataan bersama berhubung tragedi itu.
“Sebagai wakil Speaker Parlimen Turkiye dan lima parti politik yang mempunyai kumpulan dalam dewan, kami bersatu serta sedia berkhidmat untuk rakyat,” kata kenyataan itu.














