fbpx

Nampak bahagia di Facebook, tetapi rupanya derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

KENAPA hidup aku tidak seronok dan tiada ‘vibe’ macam dia? Itu antara persoalan yang pernah dibangkitkan seorang rakan penulis tatkala melihat hantaran media sosial dibuat temannya di Instagram baru-baru ini.

Tatkala melihat hantaran itu yang mempamerkan kehidupan sempurna, rakan penulis mula membandingkan kehidupannya ketika ini yang disifatkan sebagai mencabar dan ada kalanya sukar.

Rakan penulis juga seakan terkesan dengan apa yang dilihatnya di media sosial kerana merasakan dirinya tidak berusaha sehabis baik bagi mendapat kehidupan sempurna meskipun wanita itu antara individu yang sering bekerja keras.

Dalam konteks ini, seorang individu tidak seharusnya terkesan dengan apa dipamerkan orang lain di media sosial berikutan apa dikecapi dan dilalui mereka adalah berbeza.

Selain itu, hantaran di media sosial juga tidak menterjemahkan tahap kebahagian seseorang memandangkan mereka boleh mengatur apa yang ingin dipamerkan, ada yang hanya me­nunjukkan perkara gembira sahaja walaupun keadaan diri merasai perasaan sebaliknya.

Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Firdaus Mansor berkata, orang ramai khususnya generasi muda tidak seharusnya terkesan dengan apa yang ditonjolkan di media sosial kerana perkara itu bukan indikasi kebahagiaan seseorang.

“Biasanya, individu yang se­ring terkesan apabila melihat hantaran rakan-rakan lain di media sosial adalah kumpulan yang mempunyai tahap kurang kepercayaan diri.

“Jadi, apabila dia melihat apa yang dinikmati orang lain seperti mempunyai pasangan kekasih atau mempunyai suasana pekerjaan yang gembira, maka persoalan sedemikian akan mula timbul berikutan dia mungkin tidak merasai perkara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Menurutnya, perasaan se­perti itu juga dilihat akan memberi impak negatif kepada perkembangan psikologi seseorang apabila individu itu berpotensi berdepan masalah seperti rendah diri.

“Seharusnya, kita tidak perlu terkesan dengan apa yang dipamerkan orang lain di media sosial kerana perjalanan kehidupan individu adalah tidak sama, setiap orang mempunyai cerita yang berbeza termasuk cabaran yang dilalui mereka.

“Selain itu, apa yang ditunjukkan pengguna media sosial ada kalanya bertentangan dengan apa yang dilalui yang kemungkinan wujud unsur berpura-pura dengan kehidupan,” jelasnya.

Katanya, ada individu yang mungkin berpura-pura seper­ti mempamerkan gaya hidup mewah walaupun hakikatnya hanya rakyat biasa.

“Ada juga individu yang ga­yanya gemar berkongsi semua perkara di platform media sosial sama ada hal gembira atau sedih dalam kehidupannya. Mereka boleh berkongsi apa sahaja, semuanya bersifat subjektif.

“Sebagai seorang pengguna media sosial, kita perlu bijak menilai apa dipamerkan di platform itu, usah terlalu terkesan dengan hantaran orang lain, ia mungkin tidak menterjemah apa sebenarnya dilalui mereka,” ujarnya.

Melihat kepada keadaan itu, apa yang dapat disimpulkan di sini adalah setiap orang mempunyai jalan cerita kehidupan yang berbeza, bersyukur dan terus bekerja keras bagi memastikan setiap keinginan mampu direa­lisasikan.

Tidak mengapa jika kita sedikit kebelakang daripada pencapaian orang lain, asalkan ja­ngan berhenti dan terus mengorak langkah untuk membina kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI