PETALING JAYA – Caj pengeluaran RM1 bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dikenakan kepada pengguna hanya pampasan kecil berbanding kos sebenar mengendalikan mesin tersebut.
Pengerusi Persatuan Senior Kewangan Islam (Arif), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, dalam operasi sesebuah bank, perkhidmatan ATM adalah satu kemudahan yang diberi selain pemindahan wang yang boleh dilakukan secara percuma menerusi kaedah dalam talian melalui DuitNow.
Berita berkaitan: Ramai minta hapuskan caj RM1 transaksi ATM
“Perkhidmatan ATM melibatkan banyak kos iaitu pembelian mesin, penggunaan ‘IT Software’, kos mengisi wang dan beratus ribu wang kertas tunai yang perlu disiapkan untuk pengeluaran tunai dan juga kos mengawal sekuriti mesin tersebut melalui televisyen litar tertutup.
“Caj pengeluaran RM1 dikenakan kepada para pelanggan bukan bank adalah pampasan yang kecil berbanding dengan kos sebenar mengendalikan ATM itu. Jika tidak mahu tanggung caj RM1, pastikan guna ATM ikut bank masing-masing, tiada caj dikenakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, jumlah pampasan yang diperoleh pihak bank hanya sekitar 50 hingga 70 peratus daripada kutipan hasil caj RM1 bagi menampung kos sebenar sebuah mesin dan selebihnya disubsidi oleh bank itu sendiri.
Berita berkaitan: Ramai minta hapuskan caj RM1 transaksi ATM
“Anggaran untuk sebuah mesin ATM adalah lebih RM100,000, dan kalau mesin deposit tunai kosnya tiga kali ganda. Jadi caj tersebut menjadi satu keperluan untuk bank menampung kos perbelanjaan dan pengendalian mesin ATM itu,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap isu terbabit.
“Apabila timbul isu (caj RM1), sudah tentu kita perlu rujuk kepada BNM. Dari situ baru kita boleh dapatkan pandangan dan kesimpulan secara holistik.
“Ini kerana, perkara-perkara ini di bawah kawalan BNM yang mana mereka ada akta sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.















