fbpx

Menu rakyat jangan barai setengah jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KITA mengucapkan syabas dan terima kasih di atas langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini khususnya dalam kempen menyediakan menu rakyat atau dijenamakan sebagai Menu Rahmah.

Usaha tersebut jelas bertepatan dengan suasana rakyat yang ketika ini berhadapan dengan tekanan khususnya menghadapi pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Kos ini melibatkan perkara yang sesiapa sahaja tidak boleh elakkan sama sekali baik makan minum, kenderaan, bahan api sehinggalah kepada pelbagai perkhidmatan sama ada pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

Suka atau tidak, setiap orang daripada kita terpaksa menerima realiti bahawa kita mesti hidup dan berhadapan dengan kenaikan harga yang saling berkait antara satu sama lain. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi isu ini berlaku di seluruh dunia.

Di Britain kenaikan inflasi mencecah 11.1 peratus pada Oktober 2022 iaitu rekod tertinggi dalam tempoh 41 tahun, begitu juga di Amerika Syarikat mencatat inflasi tertinggi 8.2 peratus pada September 2022 iaitu paras tertinggi dalam tempoh empat dekad.

Sebuah syarikat data raya berpangkalan di Britain menyediakan 18 kumpulan kategori rakyat di negara itu, antaranya golongan mewah, kaya, harta mencukupi, bandar sofistikated, baharu bekerja, pelajar, pesara miskin sehinggalah golongan melarat.

Daripada kajian yang dilakukan pada November 2022 itu, didapati majoriti kelompok rakyat yang sukar untuk berdepan dengan kos sara hidup semakin meningkat ialah golongan pelajar (student life) sebanyak 20.3 peratus, diikuti golongan miskin (ramai anak, berpendapatan rendah, tinggal di flat) sebanyak 19.7 peratus dan bandar sofistikated (19.1 peratus).

Kelompok besar kedua yang terkesan ialah keluarga muda (baharu berkahwin, miliki anak kecil dan tinggal di rumah kecil), golongan baru bekerja dan pencen miskin.

Ternyata data kajian itu hampir menyamai suasana yang dihadapi oleh rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

Kos makan, pengangkutan dan tempat tinggal hampir menyebabkan gaji atau pendapatan menjadi negatif jika gagal diuruskan dengan baik.

Sehubungan itu, reaksi para peniaga, khususnya kedai makan dalam membantu menjayakan program Menu Rahmah ini sangat diperlukan di seluruh pelusuk negara.

Program ini bukan sahaja satu situasi menang-menang antara pembeli dan penjual, tetapi juga mampu membentuk budaya masyarakat penyayang, bersedekah dan bersyukur.

Cuma kita berharap, sambutan daripada para peniaga ini tidak sekadar melepas batok di tangga. Usaha ini biarlah ikhlas dan berterusan.

Hadis ada menyebut: “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI