DI sebalik gemilang penganjuran acara anugerah muzik berprestij dunia Grammy Awards ke-65, situasi rumah sudah siap, pahat masih berbunyi memang tidak dapat dielakkan.
Ada yang kalah sampai menyindir calon yang menang. Begitu juga dengan ada yang kalah, namun masih tersenyum panjang. Cuma yang ‘banyak bunyi’ datangnya daripada kelompok peminat penyanyi masing-masing.
Ada juga yang bukan sekadar naik pentas tetapi mengutip kemenangan trofi tumpuan sementelah ramai mengeluh sebab tidak pernah mendengar langsung lagu yang melayakkan si penyanyi diangkat sebagai pemenang.
Sifir Grammy ini mudah sahaja. Acara tersebut bukanlah semata-mata untuk mengangkat album atau lagu mana paling laris mahupun popular. Grammy bukan pentas Billboard.
Justeru, apabila kemenangan Harry Styles menundukkan Beyonce dalam kategori utama iaitu Album Terbaik, itu satu perkara yang wajar dihormati dan diberi tanda apresiasi.

Harry punah impian Beyonce
Harry’s House merupakan antara diskografi terlaris tahun lalu dan didatangkan juga dengan kualiti lengkap dari pelbagai sudut. Album Renaissance oleh Beyonce juga tidak kurang hebatnya, namun tuah belum tiba buat diva pop itu untuk menggenggam trofi ‘mahal’ tersebut.
Beyonce tidak berputih mata apabila membawa pulang empat kemenangan daripada sembilan pencalonan sekali gus mencatat rekod sebagai pemuzik dengan trofi Grammy paling banyak dalam sejarah iaitu 32 gramofon emas.
“Saya cuba untuk tidak memberi ucapan dalam keadaan terlalu beremosi. Saya nak ucapkan rasa syukur kepada Tuhan kerana sentiasa melindungi saya.
“Buat bapa saudara saya, Johnny yang tidak lagi bersama, namun semangatnya kekal bersama saya. Terima kasih ibu bapa saya kerana sentiasa menyayangi dan membuatkan saya bekerja keras.
“Terima kasih juga buat suami saya yang kacak, Jay Z dan tiga anak orang anak saya,” kata Beyonce sewaktu menerima trofi salah satu kategori dimenanginya.

Momen tersebut sekali gus menyaksikan dia diumumkan sebagai artis dengan kemenangan Grammy paling banyak dalam sejarah penganjuran.
Empat kategori yang dimenangi pemilik nama lengkap Beyonce Giselle Knowles, 42, itu termasuklah Rakaman Lagu Tarian/Elektronik Terbaik, Album Tarian/Elektronik Terbaik, Persembahan R&B Terbaik dan Lagu R&B Terbaik.
Beyonce juga tewas dalam dua kategori utama lain iaitu Rakaman Lagu Terbaik yang dimenangi Lizzo menerusi antem About Damn Time dan Lagu Terbaik yang merupakan kejutan terbesar apabila diraih Bonnie Raitt (Just Like That).
‘Ponteng sekolah sebab Beyonce’ – Lizzo
Sementara Lizzo ketika menerima trofi sempat melahirkan rasa apresiasi buat Beyonce dalam keadaan sebak. Katanya, wanita itu merupakan sumber inspirasinya membikin muzik sedari kecil.
“Ketika berusia 11 tahun, saya ponteng sekolah sebab nak tengok anda buat persembahan.
“Kakak saya bawa saya ponteng, waktu itu kelas sastera jadi saya tiada masalah. Anda Beyonce, ubah hidup saya. Saya masih ingat anda nyanyi lagu medley gospel dan buat saya tersentuh. Saya terus tanam azam nak buat macam apa yang anda lakukan dengan muzik saya.
“Andalah artis buat kehidupan kami semua. Saya sangat mengagumi anda,” katanya dalam keadaan sangat teruja terloncat-loncat.
Selain Lizzo, kemenangan bermakna buat penyanyi Harry Styles bukan hanya menerusi Album Terbaik, tetapi juga dia membawa pulang kategori Album Vokal Pop Terbaik.

“Saya sangat mengagumi setiap yang tercalon dalam kategori ini. Saya dengar muzik mereka ketika saya sedang keseorangan.
“Kemenangan ini tak selalu berlaku pada orang seperti saya. Rasa seronok sangat. Jadi, terima kasih sangat-sangat,” katanya yang menjayakan persembahan lagu As It Was pada acara tersebut.
Menariknya, pengumuman kemenangan bekas anggota One Direction itu diumumkan oleh seorang peminatnya yang sudah sedikit berusia.
Sejurus naik ke pentas, Harry lantas memeluk wanita itu dan sempat memberikan fist bump atau melaga penumbuk.
Chris Brown malu sendiri
Selain rencam apa yang berlaku ketika acara berlangsung, di luar gelanggang ada seorang figura popular bernama Chris Brown yang terpaksa menanggung malu.
Semuanya gara-gara tindakan penyanyi itu yang tidak semena-mena mempersoalkan kemenangan Robert Glasper berikutan kekalahannya dalam kategori Album R&B Terbaik.
“Kalian semua, siapa Robert Glasper?” coretnya menerusi InstaStory.

Tidakkah dia tahu bahawa Robert melakar sejarah apabila sudah 12 kali tercalon di Grammy dan menang lima gramofon emas.
Malu sendiri, Chris melakukan permohonan maaf terhadap Robert dan mengakui bahawa kurang melakukan kajian sebelum berkongsi entri membuta tuli tersebut.
“Saya tahu saya biadab dan zalim. Selepas buat sedikit kajian, baru saya tahu anda memang hebat. Pihak penganjur tidak bersikap adil.
“Anda dan saya tak sepatutnya bertanding dalam kategori yang sama. Dua genre dan vibes yang berbeza. Jadi, sebagai orang kulit hitam, saya berbangga dengan kejayaan anda,” katanya.
Grammy Awards ke-65 berlangsung meriah dengan kehadiran bintang berkelas papan atas seperti Adele, Bad Bunny, Taylor Swift dan SZA.
Acara yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan Lizzo, Kacey Musgraves dan Quavo.















