fbpx

Manuel Ott tangguh rancangan bulan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OTT dan isteri tercinta, Gianina Jamias bersetuju menangguhkan bulan madu bagi memberi ruang dia bersama rakan-rakan sepasukan ke Turkiye sebagai persediaan pramusim KDA FC.

DEMI kasihnya kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pemain import baharu Sang Kenari, Manuel Ott sanggup menangguhkan dahulu perancangan untuk berbulan madu bersama cinta hatinya, Marian Gianina Jamias yang baru dikahwininya pada Khamis lalu.

Menurut pemain yang dilahirkan di Jerman dan memiliki kerakyatan Filipina itu, dia te­rus terbang ke Alor Setar sehari selepas berkahwin di Manila bagi memastikan dapat bersama rakan-rakan sepasukan lain ke Turkiye sebagai persediaan pramusim.

Katanya, dia memiliki tanggungjawab untuk dilunaskan buat pasukan dalam usaha memastikan KDA FC mampu mencapai setiap matlamat ditetapkan dalam saingan liga musim ini.

“Memang meletihkan tetapi saya dan isteri gembira semuanya berjalan lancar buat kami. Selepas menyelesaikan urusan perkahwinan bersama wanita yang saya cintai, maka kini masanya untuk fokus kepada persiapan pramusim.

“Jelas sekali ini tanggungjawab yang perlu dilunaskan kerana persiapan pramusim ini cukup penting buat pasukan. Tentang berbulan madu, mungkin kami boleh tangguhkan seketika dan melaksanakannya apabila ada masa terluang nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar sebelum berangkat ke Turkiye, kelmarin.

Manuel menambah, beliau gembira kerana kini memiliki ‘tonik’ tambahan untuk meneruskan perjuangan dalam arena bola sepak dengan kehadiran isterinya itu.

“Status saya kini mungkin berbeza selaku lelaki yang sudah berkahwin tetapi impian bersama KDA FC masih sama iaitu mahu mencapai musim paling gemilang bersama pasukan ini.

“Maka pemergian kami ke Turkiye cukup penting terutamanya dalam hal-hal yang cukup spesifik. Sebelum saya pulang ke Filipina untuk urusan perkahwinan, telah banyak yang kami lakukan tetapi itu tentunya belum mencukupi dan kini masih banyak perlu dibuat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI