fbpx

Mahkamah: Cederakan lelaki, Sharnaaz akan kemuka representasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharnaaz Ahmad (tengah).

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad akan mengemukakan representasi bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium Jun tahun lalu.

Peguam bela Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan perkara itu.

“Bagaimanapun maklumat terperinci berkaitan representasi itu akan dimaklumkan kepada mahkamah pada pengurusan kes seterusnya 6 Mac ini,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Mengikut pertuduhan pelakon drama “Suamiku Encik Sotong” itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tahun lalu media melaporkan, seorang pelakon lelaki berusia 30-an direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun tahun lalu.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI