fbpx
SEBAHAGIAN daripada 100 pasangan kelihatan gembira diraikan dalam satu perarakan dengan menaiki bas Hop On Hop Off di ibu kota selepas diijabkabulkan.

Walimatul Urus Perdana rai 100 pasangan mempelai asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, hati Mohamad Taufiq Hafizzi Mohd. Nor berdegup laju tidak sama seperti kebiasaan.

Bukan mahu memasuki pertandingan larian atau aktiviti yang mencabar adrenalin, tetapi pagi itu dia akan disatukan sebagai pasangan raja sehari dan bergelar suami.

Lelaki berusia 31 tahun itu antara dua pasangan mempelai yang dinikahkan dalam program Walimatul Urus Perdana dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di ibu negara baru-baru ini.

Selain itu, 98 pasangan lain yang telah selamat dinikahkan pada program sama sebelum ini turut diraikan pada satu majlis penuh gilang-gemilang.

Bertemakan, Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam, Mohamad Taufiq Hafizzi selamat dinikahkan bersama pasangannya yang juga seorang balu, Asiah Mahamood, 57.

Walaupun jurang usia antara mereka 26 tahun, tetapi kalau sudah dikatakan jodoh Ilahi, siapa kita sebagai manusia untuk menolaknya.

Perasaan gementar, takut, risau dan bermacam-macam lagi yang sukar digambarkan anak jati kelahiran Melaka itu hilang sebaik sahaja melafazkan akad di depan jurunikah dan dua saksi.

Akuinya lagi, pernikahannya pada hari itu mungkin tidak berjaya direalisasikan sekiranya tanpa bantuan MAIWP yang banyak membantu urusan walimatul urus.

Katanya, hasrat untuk menjadi raja sehari dan menikahi isterinya sejak mengenali antara satu sama lain beberapa tahun lalu dipermudahkan menerusi skim bantuan perkahwinan MAIWP.

“Alhamdulillah, saya sendiri rasa macam tidak sangka sudah bergelar suami kepada isteri dan bukan lagi bujang macam sebelum ini.

“Terima kasih kepada MAIWP kerana menerima permohonan kami untuk bernikah. Saya hanya bekerja biasa dan mungkin kalau tiada bantuan seperti ini, agak sukar untuk kami bernikah.

“Akhirnya, hasrat saya untuk menghalalkan isteri tercinta dipermudahkan Allah SWT.

“Tidak setakat itu, MAIWP juga meraikan 100 pasangan dalam suasana penuh meriah,” katanya.

Gambar kenangan 100 pasangan mempelai yang diraikan dalam program Walimatul Urus Perdana anjuran MAIWP di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi kegembiraan sama ialah Muhammad Mustaqim Siow Abdullah yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang juga mualaf.

Katanya, dia dan pasangan tidak menyangka hasrat untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan melalui bantuan daripada MAIWP.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan bulanan tidak menentu, paling banyak pun sekitar RM1,000 sebulan.

“Tentunya sukar untuk saya mengumpul wang bagi mengadakan majlis perkahwinan dan kenduri makan untuk saudara-mara serta kenalan.

“Isteri pula hanya suri rumah. Jadi, saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan zakat MAIWP sebanyak RM400.

“MAIWP turut membantu kami melalui skim bantuan perkahwinan ini,” ujarnya gembira sambil diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka.

Dua pasangan pengantin menunjukkan surat nikah yang dIterima daripada MAIWP.
– Foto IHSAN MAIWP

Tambah Muhammad Mustaqim Siow, menerusi insentif bantuan yang diterima, ia membantu mengurang serta menjimatkan kos kahwin.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, program tersebut diadakan bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa MAIWP sentiasa mengagihkan zakat yang dibayar.

“Ketika awal penubuhan MAIWP, aktiviti kutipan zakat dilaksanakan sendiri oleh Baitulmal Wilayah Persekutuan sehingga Mei 1989 sebelum pengurusannya dikorporatkan.

“Dalam aspek pengagihan zakat pula, bermula tahun 1981, MAIWP hanya menawarkan enam skim bantuan zakat berbentuk keperluan segera, bulanan dan perniagaan.

“Alhamdulillah, dengan peningkatan kutipan zakat pada setiap tahun, MAIWP telah menawarkan 30 skim bantuan zakat yang merangkumi kebajikan, perlindungan, pendidikan, perubatan, keusahawanan dan pembangunan ummah,” katanya.

Menurutnya lagi, 100 pasangan mempelai yang diraikan terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan saudara baharu.

Jelasnya, setiap pasangan turut menerima wang tunai RM2,000, sepersalinan pakaian pengantin serta perhiasan sebelum disandingkan di atas pelamin yang disediakan.

Tambah Mohd. Daud, tidak sekadar nikah dan bersanding, majlis jamuan makan turut diadakan dengan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat mempelai.

“MAIWP telah menawarkan skim bantuan perkahwinan sejak tahun 2006 yang bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada kumpulan sasar.

“Insentif ini bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus.

“Tahun lalu, MAIWP te­lah membantu sebanyak 412 pe­nerima dengan melibatkan per­belanjaan sebanyak RM1.08 juta,” ulasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN