fbpx

Bapa mohon pinjam mesin oksigen untuk anak sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN menyuapkan susu kepada Mohd. Adam Amsyar yang terlantar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Luluh hati seorang bapa apabila tidak dapat menunaikan permintaan anaknya untuk pergi ke sekolah seperti kanak-kanak lain selepas dia hanya mampu terlantar akibat penyakit jantung terbalik atau mitral atresia yang dihidapinya.

Abdul Rahman Ahmad, 49, berkata, ayat ‘adik nak ke sekolah ayah’ amat memilukan ha­tinya setiap kali ia dituturkan oleh anaknya, Mohd. Adam Amsyar, 11, yang bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen selepas dia terjatuh di bilik air awal bulan lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, Abdul Rahman berkata, selepas terjatuh, badan anaknya berubah menjadi kebiruan dan tercungap-cungap sebelum dimasukkan ke Hospital Sultan ­Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Dia dimasukkan ke wad selama dua minggu di HSI dan seminggu di Hospital Pontian sebelum dibenarkan pulang pada minggu lalu.

“Mohd. Adam memerlukan penjagaan rapi kerana tahap oksigen di dalam badannya perlu dipantau setiap masa, selain bergantung kepada susu formula khas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang di sini.

Menurut Abdul Rahman, selepas pulang ke rumah, anaknya itu memberitahu hendak ke sekolah, tetapi dia meminta Mohd. Adam bersabar dan perlu sihat terlebih dahulu.

“Jika hendak ke sekolah, Mohd. Adam memerlukan sebuah lagi mesin oksigen di sekolah kerana yang ada di rumah hanya dipinjamkan oleh badan sukarelawan Ihsan Johor,” katanya.

Ujar Abdul Rahman, dia berharap ada insan atau mana-mana pertubuhan berhati mulia untuk meminjamkan sebuah lagi mesin oksigen tersebut bagi membo­lehkan anaknya ke sekolah.

“Saya memang tak mampu hendak membelinya kerana ha­nya mengambil upah memotong rumput dan membantu peniaga ayam di pasar Benut. Kelengkapan sekolah untuk anak sulung, Irin Nadiya, 13, pun saya tak beli lagi kerana mengutamakan Mohd. Adam,” katanya.

Abdul Rahman memberitahu, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pada Disember 2021, Mohd. Adam pernah mencuri tum­puan apabila dia bertemu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri selepas dibawa bersiar di Taman Tema Legoland.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 013-545 3175 atau boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun miliknya, BSN 0100741100012342.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI