fbpx

Saleem, Zamani ‘satukan’ Nusantara, politik pecahkan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PERIHAL mata, jika melihat dengan kebaikan maka akan kelihatanlah kebaikan. Jika mencari salah pasti akan bertemu kesalahan. Boleh jadi apa yang tidak disukai kita adalah perkara yang baik untuk kita. Vice versa.

Kadang-kadang pergolakan adalah berpunca dari sudut pandang kita. Contohnya seorang lelaki bujang masuk ke pejabat berbaju kemeja berkedut. Terus dilemparkan dengan komen sinis “Sudah boleh cari orang rumah, ada orang boleh gosokkan baju.”

Sedangkan pemuda itu mengenakan baju daripada material linen, fabrik halus, ringan serta kain nipis yang amat sesuai, lebih sejuk dipakai semasa cuaca panas. ‘Kaya’, ‘mahal’ dengan kesan renyuk, berkedut.

Apabila menyebut jiran tetangga Indonesia, pasti terdetik di minda betapa banyak perkara yang kita tidak bersetuju. Lebih panas apabila Malaysia dan Indonesia bertembung dalam sukan bola sepak atau badminton.

Gamat media sosial dengan perang antara kedua-dua penyokong. Namun, satu yang dipuji rakyat dua negara ‘berseteru’ ini boleh pula ada jalan tengah apabila melibatkan bidang muzik. Menjadi serumpun, lihat sahaja konsert-konsert mega artis seberang di sini.

Jengah juga di ruangan komen video-video artis Malaysia seperti Saleem Iklim (Allahyarham A. M. Salim Abdul Majeed) atau Zamani Slam di YouTube. Peminat dari seberang tidak henti-henti memuji suara emas milik dua-dua penyanyi itu. Konsert artis-artis negara garuda itu di sini juga tidak kurang meriah dengan kebanyakan tiketnya sold out.

Ada kesepakatan serta bersatu dalam harmoni apabila membabitkan muzik. Dunia seolah-olah mempunyai harapan kembali untuk kedamaian.

Hanya suhu politik Malaysia yang tiada jalan tengah. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kita mengjangkakan situasinya akan reda selepas habis membuang undi. Sehingga sekarang selepas tarikh 19 November 2022 nampaknya tiada jalan damai antara parti-parti politik.

Perkara biasa, setiap hari ada sahaja pemimpin-pemimpin politik menjadi mangsa budaya penolakan (cancel culture). Keputusan PRU15 yang lalu juga membuktikan Malaysia kini sudah berpecah belah apabila tiada satu gabungan pun mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Alangkah indahnya jika mereka yang ahli dalam politik juga ‘buta warna’ seperti peminat muzik. Sekurang-kurangnya kita berpolitik, memilih pemimpin semasa pilihan raya sahaja. Usai proses undian kita kembali ‘bersatu’ memainkan peranan masing-masing, jika pembangkang menjadi kuasa semak dan imbang jika kerajaan gunakan kuasa memimpin negara ke arah yang lebih baik.

Nampaknya, trauma rakyat pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal PRU14 akan berlarutan. Ada yang sibuk mencatur ke tampuk kuasa. Yang kalah jadi abu, menang jadi arang.

Tengkujuh pun ada masanya hujan berhenti, hari cerah bermatahari. Politik tidak!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI