PUTRAJAYA – Malaysia menyeru pemimpin-pemimpin dunia dan orang perseorangan yang berfikiran waras agar mengecam pembunuhan secara terang-terangan rakyat Palestin oleh pasukan keselamatan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dan kempen penindasan tanpa henti yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas tahanan warga Palestin.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kempen penindasan tanpa henti dan rakus terhadap tahanan warga Palestin di beberapa buah penjara Israel termasuklah hukuman kolektif serta balas dendam terutamanya terhadap tahanan dari Jenin, wilayah Tebing Barat.
“Komuniti antarabangsa juga diseru agar menggesa rejim Israel bertanggungjawab di atas jenayah tersebut dan mendesak agar rejim berkenaan menghentikan tindakan kejam yang biadap itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menyatakan simpati, takziah serta memanjatkan doa buat ahli keluarga semua mangsa warga Palestin yang terbunuh dan cedera susulan pencerobohan berterusan oleh pasukan keselamatan Israel ke atas kem pelarian Jenin baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka dan perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel.
“Sekali gus merealisasikan aspirasi mereka untuk menjadi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara,” ujar beliau.
Terdahulu, kem pelarian Jenin di Wilayah Tebing Barat dihujani peluru pada 26 Januari lalu berikutan serbuan pasukan keselamatan Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin. – KOSMO! ONLINE














