fbpx

KPDN sita 11,000 liter minyak diesel bersubsidi di Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN Perak menunjukkan lori yang disita dalam serbuan di kawasan Perindustrian Anson di Teluk Intan hari ini. IHSAN KPDN PERAK

TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 11,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson di sini hari ini.

Serbuan bermula pukul 9 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan diketuai Mohd. Badrul Hisham Ahmad Alias.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan selama seminggu yang dijalankan di premis berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 11 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter berisi minyak disyaki diesel di premis tersebut.

“Pemeriksaan turut menemukan dua buah lori tanah bertutup kanvas yang di atasnya terdapat tangki skid, digunakan untuk mengumpul minyak diesel yang dibeli di stesen minyak di sekitar Teluk Intan melalui tangki minyak asal yang telah diubah suai.

“Siasatan mendapati premis yang diperiksa tiada sebarang lesen atau kebenaran yang sah untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, selain menyita kira-kira 11,000 liter minyak disyaki diesel, turut disita dua buah lori yang membawa dua buah tangki skid.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM201,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI