fbpx

Harga minyak masak botol kekal bagi 8 Februari hingga 7 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Harga minyak masak tulen kemasan botol kekal bagi tempoh mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, harga runcit maksimum yang ditetapkan adalah RM6.90 bagi botol 1 kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 (5 kg).

Menurutnya, harga itu dikekalkan walaupun secara umumnya terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah bagi Januari berbanding bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, berdasarkan rundingan diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak tulen kemasan botol bagi tempoh mulai 8 Februari 2023 hingga 7 Mac ini.

“Harga itu dikekalkan selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, antara komitmen itu termasuk menetapkan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2023.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Bagi kesalahan individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.

“Kami turut meminta orang awam menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI