fbpx

Kitar semula sisa makanan bantu kurangkan CO2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISA makanan boleh dikitar semula menjadi baja untuk kegunaan tanaman dalam usaha memelihara kelestarian negara. – Gambar hiasan

MASALAH pembuangan sisa pepejal merupakan salah satu isu utama yang sering diperkatakan oleh pelbagai pihak.

Malah, pihak yang bertanggungjawab menguruskan hal tersebut telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan persekitaran terpelihara.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Ts. Dr. Muhammad Heikal Ismail berkata, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melaporkan bahawa setiap hari rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal.

Jelasnya, daripada jumlah berkenaan, kira-kira 44.5 peratus iaitu 17,000 tan adalah sisa makanan.

Menurutnya lagi, sebanyak 4,046 tan atau 24 peratus daripada komposisi itu adalah sisa makanan yang boleh dielakkan jika diuruskan mengikut strategi yang tepat.

“Sisa makanan yang boleh dielakkan ini boleh diberikan kepada tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.

“Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat telah memperincikan hierarki pemulihan sisa makanan kepada enam aras piramid.

“Ia bermula dengan turutan keutamaan daripada pengurangan sumber, bank makanan, makanan haiwan, kegunaan industri, pengkomposan dan tapak pelupusan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai kempen kesedaran telah dilakukan seperti mySAVEfood, #asingkan dan #JomTapau bagi mengurangkan sisa makanan.

Dalam pada itu, biarpun makanan yang diselamatkan dari pasar raya menerusi organisasi seperti Lost Food Project dan Food Bank Malaysia adalah menggalakkan, namun keperluan itu hanya bersasar kepada kumpulan kecil.

Bagi inisiatif pemulihan sisa makanan haiwan, ia terhad kerana tertakluk kepada Akta Makanan Haiwan 2009.

Sementara permintaan industri bagi penggunaan sisa makanan kepada tenaga kurang mendapat sambutan ekoran insentif tidak kondusif.

Muhammad Heikal menjelaskan, disebabkan perkara-perkara tersebut, trend pembuangan sisa makanan didapati semakin meningkat.

Terangnya, ia disebabkan keberkesanan aras piramid pada bahagian atas didorong oleh faktor luaran.

“Sementara pengkomposan sisa makanan adalah berdasarkan prinsip kelestarian alam yang terdiri daripada beberapa kaedah tertentu tanpa kekangan faktor birokrasi.

DIANGGARKAN 17,000 tan sisa makanan dihasilkan oleh rakyat Malaysia pada setiap hari.

“Antara yang sering diamalkan adalah pengkomposan vermi, pengkomposan windrow dan tong kompos,” jelasnya lagi.

Justeru, satu anjakan paradigma untuk membudayakan biokompos dalam masyarakat harus dilakukan.

Pertama sekali, pemahaman masyarakat terhadap kesan buruk hasil penjanaan sisa makanan melalui pembebasan gas karbon dioksida (CO2).

Masyarakat juga perlu didedahkan dengan kesan penggunaan air bagi satu tan sisa makanan menghasilkan 2.5 tan CO2.

Jika setiap individu dapat menukar satu kilogram (kg) sisa makanan kepada kompos, sebanyak 2.5 kg CO2 dapat dikurangkan, sekali gus membantu pengurangan jejak karbon negara.

Dari sudut ekonomi, penghasilan satu kilogram sisa makanan kepada kompos dapat menjana sekurang-kurangnya RM5 hingga RM20 untuk kelangsungan masyarakat.

Malah, biokompos yang dihasilkan dapat menjamin keselamatan makanan dalam mencipta satu kitaran ekonomi lebih mampan dengan berbekalkan mikroorganisma tanah.

Muhammad Heikal berkata, bagi memastikan keberhasilan tersebut, masyarakat harus dibimbing menerusi pemindahan ilmu berterusan sehingga projek mampu diupaya secara lestari.

“Fakta dan statistik sedia ada dapat menjadi kerangka kepada polisi untuk menangani sisa makanan secara lebih serius.

“Semoga impian Malaysia dalam mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus dapat dicapai menjelang tahun 2025,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI