PAGI itu, Loo Tak Choi telah mengumpul semua sisa makanan di kediamannya lalu dimasukkan ke dalam beberapa plastik kecil.
Plastik berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam kereta, sebelum lelaki berusia 40-an itu memandu dari kediamannya di Kepong, Kuala Lumpur ke sebuah ladang di Sungai Penchala bagi melupuskan sisa makanan tersebut.
Setibanya di ladang itu, dia mengeluarkan semua beg plastik tersebut, lalu dimasukkan ke dalam sebuah tong sampah besar.
Tujuannya adalah untuk memproses sisa-sisa makanan berkenaan menjadi baja bagi kegunaan tanaman di sekitar ladang tersebut dan hasilnya dapat dinikmati oleh warga setempat.
Itu salah satu keunikan dan kelebihan yang ditawarkan oleh ladang bandar dikenali sebagai Urban Hijau itu.
Ujar Tak Choi, itu merupakan kunjungan pertamanya ke Urban Hijau selepas menyedari rumahnya menghasilkan banyak sisa makanan pada setiap hari.
“Saya gemar membuat jus buah-buahan sendiri. Jadi, kediaman saya banyak sisa makanan yang terdiri daripada kulit buah-buahan dan sisa sayur-sayuran.
“Jadi, saya membuat carian di dalam Google untuk mengetahui lokasi yang membolehkan saya membuang sisa makanan ini.
“Pada masa sama, saya ingin melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada alam sekitar,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambah lelaki yang bekerja sendiri itu, dia gembira apabila menemui Urban Hijau yang melakukan sistem tukaran sisa makanan kepada baja.
Malah, Tak Choi boleh mendapatkan baucar bernilai RM10 untuk digunakan bagi membeli makanan mentah di Urban Hijau.
“Saya akan jadikan aktiviti menghantar sisa-sisa makanan untuk ditukarkan sebagai baja di ladang Urban Hijau ini sebagai amalan mingguan.
“Kebetulan juga, lokasi tempat ini tidak begitu jauh dari kediaman saya,” ujarnya.
Sementara itu, pengasas Urban Hijau, Irfan Mohamed, 41, berkata, pihaknya mewujudkan rangkaian kompos iaitu sistem menukar sisa makanan menjadi baja sekitar awal tahun ini.
“Sebenarnya pada tahun 2015, pihak Urban Hijau sudah ada menerima sisa makanan daripada orang ramai untuk dijadikan baja.
“Begitu pun, kami mula menjalankan aktiviti ini secara sepenuhnya pada April lalu. Sehingga kini, kami sudah menerima dan memproses hampir empat tan sisa makanan,” ujarnya.
Jelasnya, tujuan asal konsep tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai mengumpulkan sisa makanan di rumah mereka.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan sisa buangan yang mampu memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.
Dia memaklumkan, mereka yang berminat menyertai rangkaian kompos hanya perlu datang ke Urban Hijau pada setiap Sabtu atau Ahad antara 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk menghantar sisa makanan.
“Kami menerima apa sahaja sisa makanan seperti buah-buahan, kulit telur, daun teh, roti yang sudah berkulat, makanan melebihi tarikh luput dan daging.
“Kami akan menasihati orang ramai supaya membekukan sisa makanan mereka di dalam bekas terlebih dahulu sebelum dibawa ke sini.
“Mereka juga boleh membalut sisa makanan itu sebelum dimasukkan ke dalam bekas kedap udara. Langkah ini bagi mengelakkan sisa makanan daripada berbau,” katanya.
Urban Hijau turut menjalin kerjasama dengan beberapa buah restoran dan kafe di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur bagi mendapatkan sisa-sisa makanan di situ.
Setiap dua hari, Irfan bersama pekerjanya akan menyediakan tong kosong sebelum menuju ke restoran-restoran tersebut bagi mengumpulkan sisa makanan.
Selepas mendapat sisa makanan itu, Irfan akan menimbangnya terlebih dahulu sebelum dicampurkan bahan mengandungi mikroorganisma bagi menghasilkan kompos.
Bekas campuran tersebut perlu sentiasa digaul bagi memastikan adanya pengudaraan yang cukup bagi proses tersebut.

Untuk makluman, bagi sumbangan kali pertama, penyumbang akan mendapat baucar bernilai RM10 yang boleh digunakan untuk membeli hasil tanaman organik di Urban Hijau.
Antaranya termasuk buah markisa, kailan dan bayam yang ditaja oleh rakan korporat Urban Hijau.
Ladang bandar berkenaan menggunakan beberapa sistem kompos dan salah satunya adalah serangga black soldier fly.Ini kerana proses itu lebih cepat iaitu sekitar 24 jam, berbanding kaedah lain yang lazimnya mengambil masa selama dua minggu.
Meskipun baru saja diperkenalkan, namun Urban Hijau telah berjaya memproses sekitar 40 kilogram (kg) sisa makanan sehari dengan menggunakan kaedah itu.
“Kami menyasarkan untuk memproses sekitar 100kg sehari. Kami sedar bahawa banyak pihak lain yang turut melakukan kaedah pelupusan sisa makanan sebagai baja.
“Namun, ia sebenarnya hanya melibatkan satu peratus daripada jumlah sisa makanan keseluruhan di negara ini.Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa lambakan sisa makanan merupakan satu masalah besar.
“Kita memerlukan satu solusi atau penyelesaian berskala besar bagi mengelakkan masalah pencemaran di tempat pembuangan sampah,” ujarnya lagi.
Tambah bekas pekerja syarikat swasta tersebut, dia berharap orang ramai dapat membantu mengumpulkan sisa makanan di kawasan komuniti mereka untuk diproses menjadi baja.
“Pemberian ganjaran berupa baucar ini merupakan salah satu tarikan kepada orang ramai untuk mengumpul sisa makanan mereka.
“Ini menunjukkan bahawa sisa makanan yang dibuang pada setiap hari sebenarnya boleh memberi manfaat,” katanya lagi.















