fbpx

Banjir: Johor semakin pulih, 2,138 mangsa di 22 PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah mangsa banjir yang digenangi air di Kampung Tengah, Segamat, Johor.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini menunjukkan tanda-tanda semakin pulih apabila terdapat seramai 2,138 mangsa masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di setakat pukul 8 pagi, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, jumlah mangsa itu terdiri daripada 602 buah keluarga.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu meningkat sedikit berbanding seramai 2,113 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 malam tadi.

“Hanya tinggal empat daerah yang masih terjejas akibat banjir ketika ini iaitu Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

“Batu Pahat merupakan daerah terjejas paling teruk dengan seramai 879 mangsa daripada 246 buah keluarga yang ditempatkan di tujuh buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

“Mangsa banjir di Mersing pula kini berjumlah 823 orang daripada 241 keluarga di enam PPS; di Kota Tinggi 344 orang daripada 87 keluarga di lima PPS.

“Sementara itu di Segamat, mangsa banjir yang tinggal hanya 92 orang daripada 28 keluarga di empat PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 1.0 meter (m).

“Di Kota Tinggi pula, Jalan Mawai Lama yang dinaiki air setinggi 0.30m dan Jalan Kota Tinggi-Rengit dinaiki air setinggi 1.9m dibuka untuk kenderaan berat sahaja manakala Jalan Tanjung Sedili dinaiki air setinggi 8.1m dibuka untuk kenderaan ringan.

“Di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh,” ujarnya.

Selain itu, Azmi turut memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan di Mersing, Sungai Endau kini mencatatkan bacaan 2.38m melepasi paras bahaya 2.20m manakala di Segamat, Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran dengan bacaan 8.87m.

“Di Batu Pahat yang melibatkan Sungai Bekok dan Sungai Sembrong juga sudah berada pada paras amaran iaitu masing-masing kini mencecah 11.01m dan 18.56m,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI