fbpx

Reka cerita palsu mahu tuntut insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Taktik pemilik kedai aksesori kereta yang mendakwa premisnya di Dataran Mentari, di sini, dipecah masuk penjenayah bagi menuntut pampasan insurans, gagal apabila siasatan polis mendedahkan perkara sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 39 tahun itu pada pukul 1.09 tengah hari kelmarin yang mendakwa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM600,000.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah melakukan siasatan di tempat kejadian dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan menyemak televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, semakan dibuat mengesahkan tiada kejadian pecah kedai sebagaimana yang dilaporkan oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hasil soal siasat lanjut, pengadu mengaku kejadian pecah kedai tidak berlaku dan tujuan laporan polis dibuat adalah untuk tuntutan insurans.

“Satu laporan polis telah dibuat terhadap pengadu mengenai pengakuan yang dibuat dan kertas siasatan dibuka kerana membuat laporan palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Mohamad Fakhrudin turut menegaskan bahawa jangan sesekali membuat laporan polis palsu bagi kepentingan diri sendiri untuk mengelirukan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan adil dan telus kepada masyarakat.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap pesalah yang melakukan kesalahan itu dan akan mendakwa pesalah di mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03- 79662222,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI