fbpx
Nancy melakukan simbolik perasmian WCaRe 2023 di dewan serbaguna Mahligai Gading Lundu, di sini pagi tadi.

Kempen WCare selamatkan wanita daripada kanser payudara, serviks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUNDU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus melaksanakan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare) dan perkhidmatan Ujian Mamogram serta Saringan Kanser Serviks (HPV DNA).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia untuk terus membantu supaya kes-kes kanser serviks dan kanser payu dara dapat dikesan pada peringkat awal lagi, bagi membolehkan ia dikawal dan
dirawat melalui kaedah perubatan yang bersesuaian.

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan ujian mamogram untuk mengesan kanser payu dara sejak 2007 dan sehingga tahun lepas, sebanyak 463,417 ujian mamogram dilaksanakan kepada wanita yang berkelayakan.

“Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 45,011 kes telah dikategorikan untuk penyiasatan lanjut yang memerlukan pemeriksaan susulan. Manakala sejumlah 929 kes telah disahkan positif kanser payu dara dan telah dirujuk untuk tindakan selanjutnya.

“LPPKN hanya menjalankan ujian saringan sahaja dan untuk urusan rawatan selanjutnya, kita akan rujuk kepada hospital atau institusi perubatan awam/swasta yang berkaitan,” katanya ketika merasmikan WCaRe 2023 di dewan serbaguna Mahligai Gading Lundu, di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Nancy berkata daripada jumlah seluruh negara itu, seramai 70,808 wanita di Sarawak telah menjalani ujian mamogram melalui LPPKN, dengan 7,512 kes telah dikategorikan di bawah penyiasatan lanjut untuk melakukan pemeriksaan susulan dan sebanyak 80 kes telah disahkan positif kanser payu dara.

Justeru, beliau menegaskan pengesanan awal merupakan kunci utama bagi memastikan kanser payu dara dapat dirawat dan dikawal melalui kaedah perubatan yang bersesuaian.

Tambah beliau, di Sarawak, terdapat tiga cawangan Klinik Nur Sejahtera yang melaksanakan kempen WCaRe dan juga menyediakan perkhidmatan ujian mamogram dan HPV DNA iaitu di Miri, Sibu dan Kuching.-KOSMO! ONLINE

 

POPULAR