fbpx

Polis buru G. Logeswaran, suspek utama kes khianat dengan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
G. Logeswaran.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dikesan pihak polis dipercayai suspek utama terbabit dalam kes khianat dengan api membabitkan kebakaran sebuah gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, di sini.

G. Logeswaran , 41, beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1 Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur dipercayai juga terlibat bersama sembilan suspek lain yang ditahan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pertama kebakaran gudang pakaian daripada pengurusnya yang berusia 31 tahun , 6 Januari lalu.

Katanya, semakan televisyen litar tertutup memaparkan terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api pada pukul 3.06 pagi.

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang dan kes disiasat dibawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

“Kemudiannya, polis menerima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran membabitkan gudang yang sama pada 11 Januari, kali ini di bahagian belakang gudang berkenaan.

“Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai menyebabkan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Beh Eng Lai, sebanyak enam serbuan dibuat di beberapa lokasi yang berbeza sekitar Selangor hasil daripada risikan yang dijalan pihaknya pada 15 dan 18 Januari lalu.

Katanya, hasil serbuan, polis berjaya menahan sembilan suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

“Kesemua suspek direman sehingga semalam dan semakan mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan empat suspek lagi negatif.

“Semalam, dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, manakala suspek yang lain dijadikan saksi pendakwaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI