fbpx

Nurul Atina tak lupa diri, balas jasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Atina.

DALAM kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan usahawan berjaya, wanita kelahiran Tumpat, Kelantan ini tidak pernah melupakan insan memerlukan.

Ibarat resmi padi, semakin tunduk semakin berisi, begitulah juga sifat dan sisi mulia yang jarang sekali dipaparkan Siti Nurul Atina dalam laman sosial.

Pernah melalui detik-detik sukar ketika zaman kanak-kanak dan remaja selepas kehilangan bapa, Nurul Atina cukup faham erti keperitan tersebut.

Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung kepada empat beradik lain selain membantu ibunya yang berstatus ibu tunggal, Siti Atina tekad keluar dari kepompong kesusahan demi hidup lebih terjamin.

Membuat keputusan untuk keluar dan meninggalkan dunia makan gaji sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada dua cahaya mata ini tanpa menoleh ke belakang cekal dengan apa yang dipilih.

Menjadikan tudung sebagai periuk nasi untuk berniaga, perniagaan yang diperkenalkan sejak hujung tahun 2019 itu mula mendapat perhatian.

“Waktu saya mula berniaga, ketika itu pandemik Covid-19 baru nak bermula dan datang ke negara kita.

“Syukurnya satu, walaupun pandemik melanda, perniagaan tudung saya tetap berjalan seperti biasa dan hanya beroperasi dari rumah sahaja.

“Bermula daripada menjahit sendiri di rumah, sampailah saya upah seorang tukang jahit dan sekarang sudah ada 28 tukang jahit kesemuanya,” katanya berbicara bersama K2.

Nurul Atina (depan, dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama ejen, wakil pengedar dan staf syarikatnya pada malam penghargaan di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Tambah Nurul Atina, 33, kesemua tukang jahit yang diambil dikenali dan merupakan penduduk kampung yang sama dengannya serta diketahui latar belakang mereka.

Ujarnya, salah seorang tukang jahit yang setia dengannya merupakan pengasuh dan pernah menjaganya sewaktu kecil.

“Kesemua 28 tukang jahit saya merupakan orang kampung dari pelbagai latar belakang yang saya kenali.

“Semuanya berasal dari Kelantan dan tinggal berdekatan dengan syarikat kami. Ada yang ibu tunggal kehilangan suami, ada yang dibuang kerja disebabkan pandemik dan macam-macam lagi.

“Saya ambil tukang jahit yang betul-betul nak kerja dan komited dengan tugas masing-masing. Tiada apa yang dapat saya balas melainkan membantu mereka dengan cara begini,” katanya.

Nurul Atina sering menghulur bantuan kepada pertubuhan anak yatim serta golongan memerlukan sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Tambah Nurul Atina lagi, dia bersyukur kerana kesemua 28 tukang jahit di bawah kendaliannya kini mampu untuk merasa senang dan keluar dari kepompong kesusahan sama seperti apa yang pernah dilaluinya.

“Alhamdulillah ada di antara mereka yang sudah berkereta dan membeli rumah sendiri. Ada juga yang dapat sara anak di kolej dan universiti hasil upah menjahit.

“Saya suka dan secara peribadi bangga melihat usaha tanpa jemu mereka sampai ke tahap ini. Berkat doa mereka semua, saya dapat kongsi rezeki dan pulangkan semula kepada mereka,” ujarnya.

Tidak sekadar membantu ekonomi golongan memerlukan melalui kerja-kerja menjahit, Nurul Atina juga tidak lupa untuk turun padang menyantuni mereka yang jauh lebih memerlukan seperti anak yatim dan mangsa banjir. 

Suami, Nik Akhbar merupakan tulang belakang dan orang kuat yang banyak membantu ibu kepada dua orang cahaya mata ini untuk terus bertahan dalam arena perniagaan diceburi.

Ujarnya, kebiasaannya dia dan team akan menziarahi mana-mana pertubuhan dan rumah anak yatim terpilih berdekatan syarikatnya di Kelantan bagi menghulurkan sedikit bantuan.

“Tiada apa yang mampu saya lakukan. Ini pun untuk saham akhirat saya di sana nanti.

“Jadi setiap kali turun padang, saya akan bawa staf sekali untuk kita sama-sama selami kesusahan orang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI