fbpx

Jangan korek tabung KWSP lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Debaran menantikan pengumuman kadar pengagihan Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada penghujung tahun lalu telah terjawab lantas memberi keceriaan kepada pendeposit memperoleh manfaat daripada tabungan tersebut untuk menampung keperluan semasa.

Awal tahun ini pula, perdebatan dan pengharapan masyarakat terhadap Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga sudah terjawab apabila kadar tersebut dikekalkan kepada 2.75 peratus.

Ia sedikit sebanyak kini telah banyak memberi kelegaan kepada para peminjam dalam tempoh beberapa bulan sebelum Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu dijadualkan bermesyuarat pada 8 dan 9 Mac ini.

Mungkin ketika itu, kadar OPR perlu dinaikkan ke paras yang bersesuaian dengan dasar monetari agar ia dapat mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan juga pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Bersedialah kita semua untuk berdepan dengan cabaran baharu ini dan mulai hari ini, alternatif dan sumber rezeki baharu perlu difikirkan untuk menghadapi perubahan tersebut.

Nak tak nak, kadar tersebut akan dinaikkan juga dan peminjam yang mana aku janjinya dengan bank semasa memeterai perjanjian pembiayaan sebelum ini sudah ‘merelakan’ diri untuk menerima kesan turun naik OPR.

Peminjam tiada pilihan lain terpaksa komited untuk melunaskan hutang bulanan, tetapi pihak bank boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk membantu pelanggan mereka agar tidak terbeban dengan pelarasan tersebut.

Kini tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menjadi sasaran kumpulan yang sedang berdepan dengan masalah kewangan. Bagi penulis cukup-cukuplah agar tidak dikorek lagi tabung utama itu kerana ia adalah satu-satunya dana penyelamat ketika bersara nanti.

Jika alasan masih terkesan lagi dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan ‘talian hayat’ demi kelangsungan hidup, maka tabung KWSP adalah penamat kepada masalah tersebut, maka ia merupakan satu tindakan yang kurang bijak.

Ini kerana aktiviti ekonomi, perindustrian, pelancongan dan perniagaan yang sedang rancak berkembang dengan peluang pekerjaan yang semakin meningkat menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara semakin pulih.

Untuk mencapai ke fasa tersebut semestinya masyarakat terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barangan, tetapi itulah realiti yang perlu dihadapi.

Nak tak nak, perut suami, isteri, anak-anak, ibu bapa, datuk nenek semuanya perlu diisi maka tangan-tangan kita sendiri yang perlu mencorakkan bajet mingguan dan bulanan agar perjalanan hidup ini dapat diteruskan dengan lebih lancar.

Perbelanjaan pendidikan, penghospitalan, pengangkutan, kediaman dan mungkin tidak lama lagi untuk persediaan bulan Ramadan dan Syawal, segalanya memerlukan wang.

Namun, tabung KWSP bukan penyelesaian kepada masalah tersebut kerana ia hanya untuk jangka pendek semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI