fbpx

456,000 pencarum Perkeso terima manfaat menerusi dua inisiatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman.

PETALING JAYA – Lebih 456,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menerima manfaat menerusi inisiatif pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum bermula 1 Januari lalu.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM234 juta.

Beliau berkata, bagi inisiatif pertama iaitu pelarasan kos sara hidup, ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima faedah dan membabitkan peruntukan berjumlah RM213 juta.

“Sejak 1977 sehingga kini, pelarasan kos sara hidup bagi bayaran faedah berkala Perkeso telah dibuat sebanyak 12 kali di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan 10 kali di bawah Skim Keilatan.

“Kadar pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala Perkeso yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu adalah antara 0.7 peratus hingga 9.4 peratus mengikut tarikh terakru (tahun pencen diterima),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai inisiatif kedua iaitu kenaikan kadar pencen maksimum, Mohammed Azman berkata, ia dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah.

Menerusi inisiatif itu katannya, kadar pencen sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan ditingkatkan kepada RM550 sebulan.

“Peningkatan ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM21 juta,” ujarnya.

Justeru kata beliau, pihaknya berharap agar kedua-dua inisiatif itu akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi penerima faedah Perkeso.

Selain itu katanya, ia juga berupaya membantu penerima faedah menangani peningkatan kos barangan dan perkhidmatan di negara ini terutamanya dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI