fbpx

Tawar aneka ayam goreng perisa unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan BHC menunjukkan variasi ayam goreng yang ditawarkan di cawangan pertama jenama itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

MULA dibuka secara rasmi di negara ini pada 1 November lalu, rangkaian cawangan ayam goreng popular dari Korea Selatan, BHC kini menawarkan pelbagai pilihan kepada penggemarnya.

BHC yang merujuk kepada singkatan Better & Happier Choice merupakan penyedia ayam goreng popular dengan 1,800 cawangan di Korea Selatan.

Menurut kenyataan daripada wakil BHC Malaysia, restoran pertama di negara ini dibuka di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Ujarnya, buat masa ini, pihaknya menawarkan lapan variasi secara keseluruhan dengan tiga perisa terlaris buat pelanggan.

“Antara yang paling laris dan menjadi tarikan pelanggan adalah BHC Bburinkle, gold king dan macho king.

“Ayam goreng yang kami tawarkan cukup istimewa dan berbeza dengan pesaing lain.

“Ini kerana kami menggunakan minyak bunga matahari bersama ayam segar daripada pembekal,” katanya.

Tambahnya, ayam segar yang diperolehi daripada pembekal turut diperakui status halal, selain menggunakan bahan-bahan diimport khas dari Korea Selatan.

Seleksi macho king sesuai buat mereka yang gemarkan rasa pedas.

Ujarnya lagi, seleksi perisa ayam goreng yang ditawarkan sesuai dinikmati oleh semua lapisan usia.

“Jika seseorang itu menggemari hidangan berasaskan keju, mereka boleh cuba seleksi Bburinkle.

“Ia merupakan ayam segar disalut adunan tepung rangup yang ditaburkan dengan bahan perasa keju serta sayur-sayuran.

“Bagi mereka yang menggemari menu pedas, hidangan ayam goreng macho king adalah pilihan terbaik.

“Seleksi ini hadir dengan ayam goreng disalut kicap berperisa istimewa dengan sos oriental berasaskan madu.

“Bagi gold king pula, pelanggan bakal ditawarkan dengan hidangan ayam goreng rangup disiram dengan kicap khas diperbuat daripada madu dan bawang putih. Ia menawarkan rasa masam manis sempurna,” katanya.

Menurut BHC lagi, cawangan pertama yang sudah beroperasi selama dua bulan itu mampu memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa.

“Kami menyediakan lebih 30 meja di cawangan pertama ini. Pelbagai diskaun harga dan tawaran menarik ditawarkan kepada pelanggan.

“Buat masa ini, restoran yang terletak di dalam pusat komersial ini menawarkan menu ala carte, set serta combo,” katanya.

Ujarnya, BHC menerima respons baik terutama daripada penggemar ayam goreng di Malaysia.

Maklumnya lagi, situasi ini membuatkan syarikat tersebut optimis untuk membuka lebih banyak cawangan terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI