fbpx

Op Selamat: 833 kemalangan, 12 kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizi (tengah) menyampaikan beg cenderahati kepada penumpang bas ketika menghadiri Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang Ke Kampung Sempena Tahun Baru Cina 2023 bersama Perkeso Perak di Terminal Meru Raya, Ipoh, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Op Selamat 19/2023 sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang memasuki hari keenam semalam, merekodkan 833 kes kemalangan dengan 12 kematian di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, jumlah kematian itu dicatatkan daripada sembilan kes kemalangan maut yang direkodkan sejak Op Selamat 19 dilancarkan Rabu lalu.

Katanya, berdasarkan statistik, tiada kemalangan membabitkan bas ekspres direkodkan tahun ini berbanding 11 kes pada tahun sebelumnya.

“Setakat semalam, terdapat 21 kes kemalangan di mana membabitkan lori manakala tiada kes melibatkan bas.

“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus berbanding Op Selamat 17 yang diadakan tahun lepas iaitu 52 kes di mana 11 kes membabitkan bas dan 41 kes pula melibatkan lori,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang Ke Kampung Sempena Tahun Baharu Cina bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Terminal Meru Raya di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai tiada kes kemalangan membabitkan bas ekspres, Azizi berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan angka tersebut ialah kerana perancangan awal Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak yang mengadakan operasi bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Bahkan katanya, usaha oleh semua elemen dalam pasukan polis telah membantu penurunan kes kemalangan membabitkan pengangkutan awam itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI